DUNIA

Gunung Semeru kembali meletus, kepulan asap menjulang setinggi 1,000 meter

Astro Awani 14/07/2025 | 09:39 MYT
Gunung Semeru meletus menghasilkan kepulan asap tebal setinggi 1,000 meter dari kawah Jonggring Saloko. -Gambar fail/AP
LUMAJANG: Gunung Semeru yang terletak di Kabupaten Lumajang, Jawa Timur, Indonesia kembali meletus pada Isnin, menghasilkan kepulan asap tebal setinggi 1,000 meter dari puncak kawah Jonggring Saloko.


Ringkasan AI
  • Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus pada 14 Julai, menghasilkan kepulan asap tebal setinggi 1,000 meter dari kawah Jonggring Saloko.
  • Letusan berlangsung selama empat minit dengan asap menghala ke arah selatan dan barat daya; tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan setakat ini.
  • Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk agar menjauhi kawasan dalam radius 8 kilometer dari kawah dan 500 meter dari tebing sungai yang berisiko dilanda lahar dan piroklastik.


Letusan tersebut dikesan pada jam 2.06 petang waktu tempatan dan berlangsung selama kira-kira empat minit, menurut maklumat daripada Pos Pengamatan Gunung Api Semeru di Gunung Sawur.

Kepulan asap tebal berwarna kelabu pekat itu terbentuk akibat tekanan gas dan menghala ke arah selatan serta barat daya, mencapai paras kira-kira 4,676 meter dari aras laut.

Letusan dicatatkan oleh peralatan seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter.

Walaupun tiada laporan kematian atau kerosakan besar setakat ini, pihak berkuasa tempatan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang menyeru penduduk supaya berwaspada.

Penduduk juga digesa mengelak aktiviti dalam radius 8 kilometer dari kawah, terutamanya di kawasan lembah Besuk Kobokan serta 500 meter dari tebing sungai yang berisiko dilanda aliran lahar dan piroklastik.

Gunung Semeru merupakan gunung berapi paling tinggi di Pulau Jawa dan kerap menunjukkan aktiviti letusan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Keadaan cuaca lembap dan hujan berisiko mencetuskan lahar dingin, menjadikan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa semakin penting.

Penduduk sekitar disarankan agar sentiasa mengikuti perkembangan rasmi dari PVMBG dan BPBD serta tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin.









#Gunung Semeru #Jawa Timur Indonesia #gunung berapi meletus #kawah Jonggring Saloko #piroklastik