[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Gunung Semeru meletus empat kali, hambur abu setinggi 900 meter

Astro Awani 03/08/2025 | 07:50 MYT
Gunung Semeru meletus empat kali pada pagi Ahad dengan julangan abu setinggi sehingga 900 meter dari puncak. - Gambar fail/AP
LUMAJANG: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia dilapor meletus empat kali pagi Ahad, dengan julangan abu mencecah ketinggian 900 meter dari puncak, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG).


Ringkasan AI
  • Gunung Semeru meletus empat kali pada pagi Ahad dengan julangan abu setinggi sehingga 900 meter dari puncak.
  • PVMBG mengekalkan status gunung pada Tahap II (Waspada) dan mengesan pergerakan abu ke arah barat daya dan selatan.
  • Orang awam dilarang melakukan aktiviti dalam radius tertentu sekitar gunung kerana risiko aliran piroklastik dan lava.


Letusan pertama berlaku pada jam 12.11 tengah malam waktu tempatan, menghasilkan hamburan abu putih setinggi 400 meter dari puncak gunung, atau 4,076 meter dari paras laut.

Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Liswanto, memaklumkan julangan abu berwarna putih kelabu dengan intensiti sederhana dan bergerak ke arah barat daya.

Letusan kedua direkodkan pada jam 5.17 pagi, dengan julangan abu setinggi 900 meter dari puncak, diikuti letusan ketiga pada pukul 6 pagi yang menghasilkan hamburan abu setinggi 700 meter.

Letusan keempat berlaku pada jam 8.04 pagi, dengan hamburan abu setinggi 500 meter yang tebal dan bergerak ke arah selatan serta barat daya.

Letusan terakhir direkodkan oleh seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter dan tempoh gegaran selama 128 saat.

Status Gunung Semeru kekal pada Tahap II (Waspada), dan PVMBG telah mengeluarkan beberapa amaran keselamatan kepada orang awam.

Antara langkah yang disarankan termasuk larangan aktiviti di sektor tenggara gunung sepanjang Besuk Kobokan dalam jarak 8 kilometer dari puncak, serta larangan aktiviti dalam lingkungan 500 meter dari tebing sungai susulan risiko aliran piroklastik dan lava yang boleh merebak sehingga 13 kilometer dari puncak.

PVMBG turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan rasmi berkaitan aktiviti gunung berapi tersebut.







#gunung berapi #Gunung Semeru #PVMBG #piroklastik