BANDUNG: Mahkamah Indonesia menjatuhi hukuman mati terhadap seorang bekas guru dan pengasas sekolah tahfiz atas tuduhan merogol 13 murid perempuan di bawah seliaannya.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan susulan tertuduh sebelum ini hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Kes membabitkan Herry Wirawan, 36, menggemparkan Indonesia dan mengetengahkan isu mengenai keperluan melindungi kanak-kanak daripada keganasan seksual di sekolah tahfiz berasrama.

Februari lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah di Bandung, sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan memohon tertuduh dikenakan hukuman mati.

Antara 2016 dan 2021, Herry didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 13 pelajar perempuan, yang berusia antara 12 dan 16 tahun.

Lapan daripada mangsa juga didapati hamil, menurut penghakiman pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia membantah rayuan hukuman mati itu yang dianggap tidak bersesuaian.

Indonesia, sebagai negara berpenduduk Islam paling ramai di dunia, mempunyai puluhan ribu sekolah tahfiz berasrama dan sekolah agama yang lazimnya menjadi pilihan pelajar dari keluarga miskin mendapatkan pendidikan.