NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa seluruh dunia pada Sabtu supaya bertindak menangani krisis sisa pepejal, lapor Xinhua.

Dalam video mesej ucapan Hari Sisa Sifar Antarabangsa , yang jatuh pada 30 Mac setiap tahun, beliau mendedahkan keadaan planet dunia yang dalam keadaan sangat berbahaya.

"Planet kita sedang lemas di dalam banjir sampah," katanya menggambarkan keadaan yang membimbangkan tentang pencemaran alam sekitar akibat penggunaan berlebihan dan penghasilan sampah oleh manusia.

Beliau berkata dengan lebih daripada dua bilion tan sisa pepejal perbandaran dihasilkan setiap tahun, akibatnya memudaratkan cuaca dan ekosistem dunia serta kesihatan manusia.

Guterres menekankan keperluan segera untuk menangani penggunaan yang berlebihan dan berkata "Penggunaan berlebihan membunuh kita, kemanusiaan perlukan intervensi."

Beliau juga memuji usaha Lembaga Penasihat mengenai Sisa Sifar kerana peranannya menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam misi mencapai sampah sifar.

Bagi menangani krisis ini, Guterres menggariskan satu pendekatan pelbagai sisi.

"Perniagaan perlu memikirkan semula produk mereka untuk mengurangkan pembungkusan yang membazir dan memaksimumkan usia produk dan kitaran hidupnya," katanya sambil menggesa peralihan ke arah amalan pengeluaran mampan.

Pengguna juga diseru supaya berfikir dua kali terhadap produk yang mereka beli dan mengitar semula atau menggunakan semula di mana yang boleh."

Guterres turut menekankan kepentingan tindakan kerajaan dalam memupuk ekonomi kitaran yang mengutamakan guna semula, pengeluaran semula, pemulihan dan pencegahan sisa.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk program pengurusan sampah moden yang boleh mengurangkan dengan ketara kesan pengurangan sumber.

"Pada Hari Sisa Sifar Antarabangsa, marilah berikrar untuk menghentikan kitaran sampah yang memusnahkan ini buat selamanya" kata Guterres sambil menggesa warga sejagat supaya komited kepada amalan lestari yang melindungi planet ini untuk generasi akan datang.

Pada 14 Dis 2022, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai satu resolusi pada sesi ke-77 untuk menjadikan 30 Mac sebagai sambutan Hari Sisa Sifar Antarabangsa setiap tahun.

-- BERNAMA