KUALA LUMPUR: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson dan Canselor (Chancellor of the Exchequer), Rishi Sunak antara yang dikenakan tindakan saman oleh pihak polis kerana melanggar arahan perintah berkurung dengan menghadiri parti Krismas di Whitehall dan 10 Downing Street pada Mei tahun lepas.

Jurucakap 10 Downing Street yang menjadi kediaman rasmi Johnson mengesahkan bahawa dua figura penting negara itu telah menerima surat makluman mengenai tindakan saman dari polis Metropolitan.

Memetik laporan BBC news, mereka akan menerima notis penalti tetap dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai butiran notis berkenaan," ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 50 notis saman telah dikeluarkan berkait pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan majlis parti di kedua-dua lokasi tersebut.

"Polis tidak menamakan setiap penerima notis ini, bagaimanapun memberitahu bahawa Johnson dan Sunak antara yang termasuk dalam senarai," memetik kenyataan sama.

Dalam beberapa rentetan peristiwa ini, Johnson dibuktikan telah hadir ke beberapa siri majlis parti kontroversi ketika negara itu dikenakan perintah berkurung COVID-19.

Susulan itu, Johnson didesak memberikan penjelasan dan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerana melanggar perintah sekatan yang dirangka sendiri oleh kerajaannya.

Beliau dalam masa sama dituduh menipu berkenaan kenyataannya terhadap insiden berkenaan dengan menafikan bahawa telah diberi amaran parti berkenaan melanggar perintah sekatan.

Katanya, beliau menyangka parti berkenaan adalah merupakan majlis kerja dan tidak diberi peringatan awal bahawa ia melanggar perintah sekatan yang dilaksanakan ketika itu.