Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Haiwan semakin banyak alami penyakit kronik seperti manusia disebabkan kemerosotan alam sekitar - Kajian

Bernama 17/11/2025 | 20:45 MYT
Tinjauan terkini menunjukkan lebih separuh kucing dan anjing peliharaan mempunyai berat badan berlebihan, menyumbang kepada peningkatan pesakit diabetes, khususnya dalam kalangan kucing. - Foto hiasan/Pixabay
ISTANBUL: Semakin banyak haiwan di seluruh dunia termasuk haiwan peliharaan, ternakan dan spesies marin didapati mengalami penyakit kronik yang sebelum ini dianggap masalah kesihatan manusia, menurut satu kajian baharu yang menonjolkan bagaimana perubahan alam sekitar sedang membentuk semula tahap kesihatan haiwan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kajian yang diterbitkan dalam Risk Analysis dan diterajui oleh Antonia Mataragka dari Universiti Pertanian Athens memperkenal satu rangka kerja baharu berasaskan bukti bagi meningkatkan pemantauan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam haiwan.

Model itu bertujuan menyokong pengesanan awal dan membimbing pihak berkuasa kesihatan ketika peningkatan penyakit kronik berlaku secara selari dalam manusia dan haiwan.

Menurut kajian itu, kecenderungan genetik berperanan penting, terutamanya untuk anjing, kucing dan haiwan ternakan yang dibiak secara selektif, yang menunjukkan kadar lebih tinggi bagi diabetes, penyakit jantung dan kemerosotan sendi. Tekanan alam sekitar, bagaimanapun kekal sebagai faktor dominan.

Pemakanan tidak seimbang, kurang pergerakan, pendedahan kepada bahan kimia dan tekanan jangka panjang semakin membentuk corak penyakit merentas spesies.

Tinjauan terkini menunjukkan lebih separuh kucing dan anjing peliharaan mempunyai berat badan berlebihan, menyumbang kepada peningkatan pesakit diabetes, khususnya dalam kalangan kucing. Dalam sistem pertanian, kira-kira 20 peratus babi yang diternak secara intensif mengalami osteoartritis.

Spesies marin menghadapi ancaman serupa: ikan paus beluga didiagnosis dengan kanser gastrousus, manakala salmon Atlantik ternakan kerap menunjukkan sindrom kardiomiopati. Hidupan liar di muara tercemar yang dipenuhi bahan kimia industri menunjukkan kadar tumor hati sehingga 25 peratus.

Mataragka menjelaskan yang perubahan iklim dan urbanisasi pesat sedang memperburuk ancaman ini. Lautan yang semakin panas dan habitat terjejas dikaitkan dengan peningkatan kadar tumor dalam penyu laut dan ikan, manakala suhu bandar yang meningkat dan pencemaran udara semakin menjejaskan kesihatan metabolik serta imun haiwan peliharaan.

"Apabila perubahan alam sekitar mempercepat kemunculan penyakit, ketiadaan sistem diagnosis awal terus melambatkan pengesanan NCD dalam haiwan," kata Mataragka sambil menegaskan data NCD yang komprehensif bagi haiwan masih kurang berbanding statistik kesihatan manusia.

--BERNAMA-ANADOLU






#haiwan #penyakit kronik #alam sekitar #penyakit tidak berjangkit