Dua lelaki Iraq ketuai bantahan terhadap sekatan kemasukan Trump
Agensi
Januari 29, 2017 11:38 MYT
Januari 29, 2017 11:38 MYT
Seorang hakim persekutuan pada Sabtu menghentikan penghantaran pulang puluhan pelancong dan pelarian dari tujuh negara majoriti Islam yang terkandas di lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) akibat arahan yang dikeluarkan Presiden Donald Trump.
Ia susulan tuntutan mahkamah yang difailkan bagi pihak dua rakyat Iraq yang mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan AS.
Dalam saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York itu, kedua-dua lelaki itu mencabar arahan Trump atas alasan perlembagaan.
Menurut saman itu, hubungan mereka dengan tentera AS menjadikan mereka sasaran di negara asal mereka, dan kedua-dua mereka mempunyai visa yang sah untuk memasuki AS.
Tuntutan saman itu menunjukkan sebahagian masalah undang-undang yang dihadapi pentadbiran baru Trump ketika ia cuba melaksanakan arahan yang ditandatangani presiden itu pada Jumaat.
Pada Jumaat lalu, Trump mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat dan melarang kemasukan pelancong/pendatang dari tujuh negara Islam selama 90 hari, mengatakan langkah itu bertujuan membantu melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.
Negara Islam tersebut ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Dalam keputusan yang dibuat pada Sabtu itu, Hakim Daerah Ann Donnelly mengarahkan pihak berkuasa AS supaya tidak mengusir pelarian yang diluluskan sebelum ini serta "pemegang sah visa pendatang dan bukan pendatang dan individu lain... yang dibenarkan secara sah masuk ke AS" dari negara-negara yang disasarkan dalam arahan Trump.
Pihak American Civil Liberties Union, yang memohon penangguhan sementara arahan itu berkata, keputusan itu akan membantu kira-kira 100 hingga 200 orang pemilik visa sah atau pemegang status pelarian yang sedang ditahan ketika dalam transit atau di lapangan terbang AS selepas Trump menandatangani arahan itu.
"Saya mengarahkan kerajaan menghentikan pengusiran jika ada sesiapa yang ketika ini berdepan risiko untuk disingkirkan keluar dari negara ini," kata Donnelly dalam perbicaraan mahkamah. "Tiada siapa yang perlu dikeluarkan dalam kelas ini."
Keputusan itu disambut sorakan orang ramai yang telah berkumpul di luar bangunan mahkamah Brooklyn itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada keputusan hakim itu akan menyebabkan kerajaan AS perlu membenarkan pelancong yang ditahan di lapangan terbang untuk memasuki AS atau hanya akan menghalang pengusiran pulang pengunjung ke negara asal mereka.
"Ia berlaku terlalu cepat hingga kami tidak berpeluang menangani semua isu-isu undang-undang," kata peguam Jabatan Kehakiman AS Susan Riley ketika perbicaraan.
Nasib salah seorang lelaki yang mengemukakan tuntutan mahkamah itu, bekas jurubahasa tentera Amerika yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, amat menarik, kata David Leopold, bekas presiden Persatuan Peguam Imigresen Amerika, yang tidak terlibat dalam saman itu.
"Lelaki ini merupakan seorang penterjemah yang bekerja untuk tentera AS selama bertahun-tahun, dirinya sendiri menjadi sasaran pengganas," katanya. "Jelas sekali sekiranya dia dihantar pulang, nyawanya akan terancam."
Lelaki itu, Hameed Khalid Darweesh, 53, yang dilepaskan pada lewat Sabtu, memberitahu sekumpulan wartawan di Lapangan Terbang JFK bahawa dia tidak berasa sakit hati berikutan penahanannya.
Plaintif kedua, Haider Sameer Abdulkhaleq Alshawi, 33, turut ditahan di Lapangan Terbang JFK tetapi kemudiannya dibebaskan.
Dia adalah suami kepada seorang wanita Iraq yang bekerja untuk satu kontraktor AS di Iraq dan sudah menetap di Houston.