DUNIA
Hakim halang larangan Trump terhadap pelajar antarabangsa Harvard

Seorang hakim persekutuan memutuskan untuk melanjutkan perintah sementara yang menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menarik balik kelayakan Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa. - Gambar fail Reuters
BOSTON: Seorang hakim persekutuan di Amerika Syarikat (AS) telah memutuskan untuk melanjutkan perintah sementara yang menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menarik balik kelayakan Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa.
Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Daerah AS, Allison Burroughs di Boston, hanya enam hari selepas beliau mengeluarkan perintah sementara bagi pihak Harvard.
Langkah ini disifatkan sebagai kemenangan buat universiti terkemuka itu, yang ketika ini berdepan pelbagai tekanan daripada pentadbiran Trump, termasuk pembekuan geran penyelidikan bernilai berbilion dolar, ancaman penamatan status pengecualian cukai dan siasatan terhadap dakwaan diskriminasi terhadap golongan tertentu.
Harvard dalam hujahnya menegaskan, penarikan balik itu akan memberi kesan besar memandangkan lebih 25 peratus pelajarnya terdiri daripada pelajar antarabangsa, termasuk hampir 60 peratus pelajar siswazah di Harvard Kennedy School.Semasa perbicaraan, peguam Jabatan Kehakiman berhujah bahawa universiti masih boleh mencabar keputusan itu melalui proses pentadbiran, namun Hakim Burroughs menegaskan, perintah mahkamah kekal perlu sehingga proses itu selesai, sambil menyuarakan keraguan bahawa hasilnya akan berbeza.
Harvard sebelum ini turut mendakwa, langkah itu sebagai satu bentuk serangan balas terhadap kebebasan akademik, selain menuduh kerajaan cuba campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran, kurikulum dan ideologi fakulti serta pelajarnya.
Sementara itu, Setiausaha Negara, Marco Rubio turut mengumumkan visa pelajar dari China - terutamanya yang mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China akan mula dibatalkan secara agresif.
Lebih 275,000 pelajar China kini berada di AS, menjadikan mereka antara penyumbang utama kepada pendapatan institusi pengajian tinggi negara itu dan sumber penting bakat dalam sektor teknologi.
Langkah ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pertubuhan pendidikan.
Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Amerika, Lynn Pasquerell yang memberi amaran bahawa ia bakal mencetuskan fenomena "brain drain", apabila pelajar cemerlang memilih untuk melanjutkan pelajaran di negara lain.
Perbicaraan dijangka bersambung dengan kedua-dua pihak akan merundingkan butiran lanjut berkaitan injunksi sementara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami