[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Hakim Imigresen AS putuskan aktivis pro-Palestin Mahmoud Khalil boleh diusir

Astro Awani 12/04/2025 | 10:10 MYT
Mahmoud Khalil (foto) tidak didakwa atas sebarang jenayah, tetapi penglibatannya dalam protes pro-Palestin dianggap mencetuskan suasana tidak mesra terhadap pelajar Yahudi. -Gambar fail/Reuters
LOUISIANA: Hakim Imigresen Amerika Syarikat (AS) dalam penghakimannya pada Jumaat memutuskan bahawa siswazah Universiti Columbia dan aktivis pro-Palestin, Mahmoud Khalil, boleh diusir dari negara itu.

Ringkasan AI
  • Hakim Imigresen AS memutuskan bahawa Mahmoud Khalil boleh diusir dari negara itu kerana kehadirannya didapati memberi kesan buruk terhadap dasar luar negara.
  • Mahmoud, seorang penduduk tetap yang sah, tidak didakwa atas sebarang jenayah tetapi penglibatannya dalam protes pro-Palestin dianggap mencetuskan suasana tidak mesra terhadap pelajar Yahudi.
  • Peguam Mahmoud mengkritik keputusan tersebut sebagai pencabulan hak bersuara dan merancang untuk membuat rayuan sebelum 23 April.

Keputusan dibuat semasa perbicaraan di Louisiana, di mana hakim Jamee Comans mendapati kehadiran Mahmoud di AS telah menyebabkan "kesan buruk terhadap dasar luar negara" berdasarkan satu peruntukan yang jarang digunakan dalam Akta Imigresen dan Kewarganegaraan 1952.
Peruntukan itu membenarkan Setiausaha Negara untuk menentukan bahawa kehadiran seseorang bukan warganegara boleh menjejaskan dasar luar negara.
"Proses ini jelas tidak adil dan tidak telus. Saya telah dihantar jauh dari keluarga saya hanya kerana pandangan politik saya," kata Mahmoud yang ditahan sejak 8 Mac lalu di pusat tahanan imigresen di Louisiana.
Beliau yang merupakan penduduk tetap yang sah di AS tidak didakwa atas sebarang jenayah. Namun, pentadbiran Trump berpendapat bahawa penglibatannya dalam protes pro-Palestin di Universiti Columbia telah mencetuskan suasana tidak mesra terhadap pelajar Yahudi dan melemahkan dasar luar AS.
Peguam Mahmoud, Marc Van Der Hout, mengkritik keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap hak bersuara dan hak perbicaraan adil beliau.
"Jika Mahmoud boleh disasarkan hanya kerana bersuara, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," kata Van Der Hout.
Mereka merancang untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan mempunyai sehingga 23 April untuk memfailkan tuntutan.
Mahmoud kini berada dalam tahanan dan dipisahkan daripada isterinya yang sedang mengandung, yang merupakan warganegara AS.
Kes ini telah mencetuskan perdebatan meluas, dengan pengkritik mendakwa pentadbiran itu menggunakan undang-undang imigresen untuk menekan suara pembangkang dan menyasarkan aktivis.
#Mahmoud Khalil #siswazah Universiti Columbia #aktivis pro-Palestin #boleh diusir