DUNIA

Hakim Persekutuan AS halang perintah Trump hapus kewarganegaraan melalui kelahiran

Bernama 11/07/2025 | 04:04 MYT
Hakim Joseph Laplante mengeluarkan injunksi sementara untuk menghalang pelaksanaan arahan eksekutif Trump (gambar). - Reuters
NEW YORK: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sekali lagi menghalang pentadbiran Trump daripada menguatkuasakan perintah eksekutif yang menamatkan pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada bayi yang lahir di AS, lapor Xinhua


Ringkasan AI
  • Hakim Joseph Laplante mengeluarkan injunksi sementara untuk menghalang pelaksanaan arahan eksekutif Trump yang menamatkan kewarganegaraan automatik bagi bayi lahir di AS.
  • Mahkamah membenarkan saman berkumpulan oleh peguam hak pendatang bagi mewakili bayi yang terancam status kewarganegaraan mereka.
  • Laplante menyifatkan perubahan dasar ini sebagai kerosakan yang tidak dapat diperbaiki dan beberapa hakim lain turut memutuskan bahawa arahan Trump itu bercanggah dengan perlembagaan.


Hakim Daerah AS Joseph Laplante di Concord, New Hampshire membuat keputusan itu selepas peguam hak pendatang merayu agar beliau membenarkan saman yang difailkan mereka didaftarkan sebagai tindakan saman berkumpulan bagi mewakili semua bayi yang status kewarganegaraan mereka terancam sekiranya arahan Presiden Donald Trump dilaksanakan.

Menurut ABC, keputusan Laplante itu "penting kerana Mahkamah Agung pada bulan lalu telah mengehadkan kuasa hakim mahkamah rendah untuk mengeluarkan injunksi yang berkuat kuasa di seluruh negara, namun masih mengekalkan keupayaan plaintif untuk memohon penggantungan pelaksanaan arahan berkenaan secara meluas melalui saman berkumpulan seperti yang berlaku pada Khamis di New Hampshire."

Dalam keputusan dari mahkamah, Laplante membenarkan permohonan peguam hak pendatang untuk mengesahkan kumpulan plaintif dalam saman berkumpulan di seluruh negara yang hanya terdiri daripada individu yang dinafikan kewarganegaraan serta mengeluarkan injunksi sementara untuk menghalang perintah Trump daripada dikuatkuasakan tanpa had tempoh ke atas bayi yang lahir dan belum lahir yang bakal terjejas.

"Injunksi sementara ini bukan sesuatu yang sukar diputuskan oleh mahkamah," kata Laplante semasa prosiding. "Penafian kewarganegaraan AS dan perubahan dasar secara mengejut terhadap dasar lama... itu adalah kerosakan yang tidak dapat diperbaiki."

"Kewarganegaraan AS adalah keistimewaan terbesar yang wujud di dunia," tambah beliau.

Beberapa hakim lain sebelum ini turut memutuskan bahawa perintah Trump itu adalah tidak berperlembagaan, namun injunksi mereka telah mendorong pentadbiran Trump memfailkan beberapa rayuan sehingga dibawa ke Mahkamah Agung.

-- BERNAMA


#hakim persekutuan Amerika Syarikat #pemberian kewarganegaraan secara automatik #Donald Trump #saman #bayi yang lahir di Amerika Syarikat