23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
DUNIA

Hakim AS sekat sementara Trump hantar pasukan tentera ke Portland

Bernama 05/10/2025 | 05:15 MYT
Trump berulang kali menggunakan alasan kadar jenayah yang meningkat untuk menghantar tentera ke bandar-bandar yang ditadbir Parti Demokrat. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap Presiden Donald Trump daripada menghantar anggota Pengawal Kebangsaan ke Portland, Oregon, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Mahkamah AS keluarkan perintah sekatan sementara terhadap Trump daripada menghantar Pengawal Kebangsaan ke Portland sehingga 18 Okt, dengan perbicaraan dijadual pada 29 Okt.
  • Kerajaan negeri Oregon dan bandar Portland fail saman mendakwa rancangan penugasan itu menyalahi undang-undang kerana kuasa penguatkuasaan tempatan terletak pada negeri.
  • Pertikaian campur tangan persekutuan semakin memuncak, termasuk dakwaan Trump mahu ambil alih kawalan Pengawal Kebangsaan Illinois untuk dikerahkan ke Chicago.


Seorang hakim persekutuan Oregon mengeluarkan perintah larangan sementara yang menghalang pentadbiran itu daripada meletakkan Pengawal Kebangsaan negeri di bawah kawalan persekutuan dan mengerahkan mereka ke Portland sekurang-kurangnya sehingga 18 Okt. Perbicaraan kes berkenaan dijadual berlangsung pada 29 Okt.

Pihak berkuasa bandar Portland dan negeri Oregon memfailkan saman minggu lalu, menegaskan rancangan penugasan itu adalah menyalahi undang-undang serta menekankan bahawa negeri mempunyai kuasa terhadap penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Pengawal Kebangsaan.

Perintah mahkamah itu menandakan satu lagi tamparan buat Trump, yang berusaha menghantar tentera ke bandar-bandar utama - tindakan yang sering mencetuskan bantahan besar-besaran. Sebuah mahkamah di California baru-baru ini turut menghalang pentadbiran berkenaan daripada menggunakan tentera di Los Angeles bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang sivil.

Trump berulang kali menggunakan alasan kadar jenayah yang meningkat untuk menghantar tentera ke bandar-bandar yang ditadbir Parti Demokrat.

Di AS, gabenor lazimnya mengawal Pengawal Kebangsaan di negeri masing-masing, namun presiden boleh mengambil alih kawalan semasa perang atau darurat kebangsaan. Pengawal Kebangsaan ialah pasukan simpanan tentera yang menjadi sebahagian daripada angkatan tentera AS.

Trump sebelum ini telah mengarahkan penugasan Pengawal Kebangsaan termasuk di Los Angeles bagi menangani bantahan terhadap serbuan penguatkuasaan imigresen serta di ibu negara Washington bagi menangani apa yang disifatkannya sebagai peningkatan kadar jenayah.

Pada Sabtu, Gabenor Illinois turut menuduh pentadbiran Trump berhasrat mengambil alih kawalan terhadap 300 anggota Pengawal Kebangsaan Illinois untuk dikerahkan ke Chicago, sekali gus menambah satu lagi pertikaian berhubung campur tangan persekutuan di bandar yang ditadbir Parti Demokrat.

-- BERNAMA



#Donald Trump #mahkamah di Amerika Syarikat #hantar tentera #portland