Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Hamas bertemu pegawai Mesir, cadangan gencatan senjata dibincang

Astro Awani 13/08/2025 | 23:30 MYT
Hamas menyatakan kesediaan untuk menyerahkan pentadbiran kepada entiti teknokrat bukan partisan yang dipersetujui semua pihak Palestin. - Foto fail/BERNAMA
KAHERAH: Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, telah mengadakan pertemuan penting dengan pegawai keselamatan Mesir di Kaherah bagi membincangkan usaha menghentikan perang di Gaza, mempercepatkan penyaluran bantuan kemanusiaan, dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin.


Ringkasan AI
  • Ketua perunding Hamas bertemu pegawai Mesir di Kaherah untuk hentikan perang, salur bantuan, dan tamatkan penderitaan rakyat Gaza.
  • Hamas sedia serah pentadbiran kepada entiti teknokrat; PA tawar ambil alih sepenuhnya jika Hamas lucut senjata, namun ditolak oleh Israel.
  • 320 lori bantuan tiba dalam 24 jam, namun PBB tegaskan jumlah itu belum cukup untuk bantu lebih dua juta penduduk Gaza yang terjejas.


Menurut sumber keselamatan Mesir, rundingan itu turut melibatkan cadangan gencatan senjata menyeluruh yang akan menyaksikan Hamas menyerahkan pentadbiran Gaza dan melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada pelan damai pasca-konflik.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan mahu memperluas kawalan tentera Israel di Gaza seawal Oktober, satu langkah yang mencetuskan bantahan antarabangsa berikutan kemusnahan, perpindahan paksa dan krisis kebuluran yang semakin meruncing.

Hamas menyatakan kesediaan untuk menyerahkan pentadbiran kepada entiti teknokrat bukan partisan yang dipersetujui semua pihak Palestin.

Sebahagian negara Arab dan komuniti antarabangsa menyokong cadangan agar Gaza ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang kini mengurus sebahagian wilayah Tebing Barat.

Menteri Luar PA, Varsen Aghabekian Shahin, menyatakan bahawa pihaknya bersedia mengambil alih pentadbiran Gaza sepenuhnya, dengan syarat Hamas menyerahkan senjata dan tidak memainkan peranan dalam kerajaan baharu.

Namun, Israel menolak PA sebagai pentadbir Gaza.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, hampir 320 lori bantuan telah memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom dan Zikim, termasuk tiga lori tangki bahan api dan 97 palet bantuan udara.

Bantuan tersebut diagihkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain.

Namun, PBB menegaskan bahawa jumlah bantuan yang disalurkan masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan lebih dua juta penduduk Gaza yang terjejas.

Sejak konflik bermula dua tahun lalu, lebih 61,000 penduduk Palestin dilaporkan terkorban akibat serangan berterusan oleh tentera Israel.







#Hamas #gencatan senjata #Gaza #Israel