DUNIA

Hamas enggan letak senjata selagi negara Palestin merdeka belum diwujudkan

Agensi 02/08/2025 | 23:00 MYT
Pasukan pejuang Palestin, Hamas tidak akan meletakkan senjata selagi sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka tidak ditubuhkan, sebagai maklum balas kepada antara tuntutan utama Israel. - Gambar fail AP
GAZA: Hamas menegaskan pendiriannya untuk tidak meletakkan senjata selagi sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka tidak ditubuhkan, sebagai maklum balas kepada antara tuntutan utama Israel dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.

Dalam kenyataan terbaharu, pasukan pejuang Palestin itu menjawab dakwaan yang dikaitkan dengan utusan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – Steve Witkoff yang mendakwa Hamas telah “menyatakan kesediaan” untuk melucutkan senjata.

Israel menjadikan perlucutan senjata Hamas sebagai antara syarat utama bagi mana-mana perjanjian untuk menamatkan konflik yang berlarutan.

Rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel bagi mencapai gencatan senjata serta pembebasan tebusan dilaporkan tergendala sejak minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara Arab dilaporkan mendesak Hamas agar menyerah dan melepaskan kawalan ke atas Gaza, susulan pengumuman beberapa negara Barat – termasuk Perancis dan Kanada – yang menyatakan hasrat mengiktiraf negara Palestin.

Britain pula menyatakan hanya akan berbuat demikian jika Israel gagal memenuhi beberapa syarat menjelang September.

Hamas dalam kenyataan tegasnya berkata, mereka tidak akan menyerah hak untuk “berjuang dan mempertahankan senjata” melainkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara ditubuhkan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir memberi amaran bahawa serangan ke atas Gaza akan diteruskan sekiranya rundingan gagal mencapai kata sepakat berhubung pembebasan tebusan.

Pada Sabtu, keluarga kepada tebusan Evyatar David mengeluarkan kenyataan selepas Hamas menyiarkan rakaman video menunjukkan mangsa dalam keadaan kurus kering, tidak berbaju dan berada dalam terowong yang gelap.

Keluarga mangsa menuduh Hamas menyekat bekalan makanan sebagai sebahagian daripada kempen propaganda, sambil merayu kerajaan Israel dan Amerika Syarikat untuk melakukan segala usaha menyelamatkan mangsa.

Dalam pada itu, Steve Witkoff yang kini berada di Israel untuk misi damai turut berdepan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikutan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran berhubung kebuluran besar yang berlaku di Gaza, yang didakwa berpunca daripada tindakan Israel menyekat kemasukan bantuan.

Namun Israel menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.

Sabtu lalu, Witkoff turut bertemu keluarga tebusan di Tel Aviv.

Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan beliau disambut dengan tepukan dan rayuan oleh penyokong keluarga tebusan yang berhimpun di dataran utama yang sering menjadi lokasi tunjuk perasaan.

Dalam ucapannya, Witkoff menegaskan, usaha damai perlu memberi tumpuan kepada penamatan konflik dan membawa pulang semua tebusan, bukan sekadar mencapai perjanjian separa.

Sepanjang lawatannya, Witkoff turut mengadakan pertemuan dengan Netanyahu pada Khamis serta melawat tapak pengagihan bantuan di selatan Gaza pada Jumaat, yang sebelum ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak.

Menurut angka terbaharu PBB, sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan sejak akhir Mei lalu.

Kebanyakan mangsa dilaporkan terbunuh di kawasan sekitar tapak agihan bantuan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat.

Israel bagaimanapun menuduh Hamas mencetuskan kekacauan di lokasi berkenaan dan menafikan tenteranya menyasarkan orang awam secara sengaja.

Untuk rekod, operasi ketenteraan Israel di Gaza dilancarkan susulan serangan mengejut oleh Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.

Sejak itu, lebih 60,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, manakala 169 individu termasuk 93 kanak-kanak dilaporkan mati akibat kekurangan zat makanan, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah tersebut. - Agensi



#Hamas #Palestin Merdeka #gencatan senjata #israel serang gaza