DUNIA

Hamas kecam langkah Israel duduki Bandaraya Gaza, anggapnya jenayah perang

Bernama 08/08/2025 | 22:00 MYT
Israel kini berdepan kecaman global yang semakin memuncak berhubung serangannya di Gaza yang telah meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023. - Foto fail/REUTERS
ANKARA: Pergerakan Hamas Palestin pada Jumaat mengecam keputusan Kabinet Keselamatan Israel untuk menduduki Bandaraya Gaza yang merupakan sebagai "jenayah perang dan tindakan pembersihan etnik" terhadap rakyat Palestin di wilayah yang dikepung itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan, Hamas berkata pencerobohan Israel "tidak akan menjadi sesuatu yang mudah" dan memberi amaran bahawa Israel akan "membayar harga yang tinggi" atas pengembaraan ketenteraannya di Gaza.

Hamas mendakwa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan "kerajaan ala Nazi" pimpinannya tidak mengambil peduli terhadap nasib tawanan dari Israel di Gaza, sambil menyatakan bahawa peluasan perang itu merupakan "keputusan yang disengajakan untuk mengorbankan mereka".

Kumpulan itu turut menolak usaha Israel menggantikan istilah "pendudukan" dengan "kawalan", menyifatkannya sebagai "helah terang-terangan untuk mengelak tanggungjawab undang-undang terhadap jenayahnya" ke atas hampir sejuta rakyat Palestin di bandar raya berkenaan.

Kabinet Keselamatan Israel dengan sengaja mengelak daripada menggunakan istilah "pendudukan" bagi merujuk kepada Semenanjung Gaza dalam keputusan rasmi terbaharu itu, sebaliknya memilih istilah "kawalan" - langkah yang menurut penganalisis undang-undang bertujuan menghindari tanggungjawab mengikut undang-undang antarabangsa terhadap penduduk awam Palestin.

Israel kini berdepan kecaman global yang semakin memuncak berhubung serangannya di Gaza yang telah meragut lebih 61,000 nyawa sejak Oktober 2023 . Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan dan membawa penduduknya ke ambang kebuluran.

-- BERNAMA




#Hamas #Israel #Gaza #jenayah perang