GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menyambut baik laporan terbaharu oleh pertubuhan hak asasi manusia global, Amnesty International, yang mengecam tindakan pihak berkuasa Israel dan pendatang haram di Tebing Barat sebagai satu kempen pembersihan etnik.
Hamas dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa dapatan laporan itu mengesahkan keganasan oleh pendatang haram Israel bukan insiden terpencil, sebaliknya sebahagian daripada kempen sistematik yang didakwa dipimpin dan disokong oleh kerajaan Israel.
Kumpulan itu menyatakan tindakan berkenaan mencabuli konvensyen serta undang-undang antarabangsa.
Video after video shows Israeli settlers violently harassing and attacking Palestinians in the occupied West Bank, seizing their livestock, bulldozing their schools, setting fire to their property and even killing Palestinians as part of a brutal campaign to forcibly displace… pic.twitter.com/kVJAhN1zrK
— Amnesty International (@amnesty) June 10, 2026
Hamas turut berkata penegasan Amnesty mengenai sikap berdiam diri dan ketiadaan tindakan daripada masyarakat antarabangsa telah menggalakkan Israel untuk terus melakukan tindakan terbabit.
Situasi itu disifatkan sebagai kegagalan masyarakat dunia dalam melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan.
Menyifatkan laporan tersebut sebagai penting, Hamas menggesa agar tindakan lebih tegas diambil, termasuk mengaktifkan prosiding undang-undang antarabangsa terhadap pemimpin Israel atas dakwaan jenayah perang.