INTERNATIONAL
Hamas sedia kerjasama dengan Trump jika AS desak Israel hentikan perang

Asap tebal kelihatan selepas serangan udara Israel di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, pada Khamis. - Gambar Reuters
LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berpotensi memainkan peranan penting dalam usaha menamatkan konflik di Gaza, kata seorang pemimpin kanan Hamas yang turut mengesahkan bahawa kumpulan itu telah menyatakan kesediaan kepada AS untuk menyerahkan pentadbiran Gaza.
Dalam satu temu bual bersama Sky News pada Khamis, Basem Naim memaklumkan, Hamas telah mengemukakan pelan gencatan senjata secara langsung kepada pegawai Washington dan bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza "serta-merta sekiranya perang ini ditamatkan."
Cadangan itu merangkumi pertukaran tahanan, pengunduran penuh tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta pembinaan semula Semenanjung Gaza tanpa sebarang bentuk pemindahan secara paksa.
Naim menyatakan keyakinan Trump "mempunyai kemampuan dan kemahuan untuk mencapai penyelesaian damai."“Presiden Trump mampu melakukannya sekiranya beliau memberi tekanan yang mencukupi kepada Israel untuk menghentikan perang ini dengan segera. Kami bersedia bekerjasama dengannya demi mencapai matlamat menjadikan rantau ini lebih aman,” katanya.
Hamas telah membebaskan tebusan warga Amerika-Israel, Edan Alexander, pada Isnin – hari yang sama Trump memulakan lawatan ke Timur Tengah termasuk ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
Hamas turut mengesahkan rundingan secara langsung dengan Washington sedang berlangsung.
“Kami menggesa pentadbiran Trump untuk meneruskan usaha menghentikan perang kejam yang diketuai penjenayah perang (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu terhadap kanak-kanak, wanita dan orang awam tidak bersenjata di Semenanjung Gaza,” kata kumpulan itu.
Alexander merupakan seorang tentera Israel ketika ditawan semasa serangan yang diketuai Hamas pada Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyaksikan lebih 250 individu dijadikan tebusan.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran yang telah meragut lebih 50,000 nyawa rakyat Palestin serta memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan sejak Mac lalu juga menimbulkan amaran kemungkinan kebuluran bakal melanda wilayah itu.
Kenyataan Naim mencerminkan keyakinan Hamas bahawa Trump boleh memainkan peranan penting dalam menghentikan serangan berterusan Israel, yang terus meragut puluhan nyawa pada Khamis.
Beliau turut mendedahkan, Hamas telah menerima cadangan damai yang dikemukakan Mesir, termasuk penubuhan sebuah badan bebas politik untuk mentadbir Gaza.
“Namun sebelum itu, selagi rakyat kami masih dijajah, kami berhak mempertahankan diri dan terus melawan penjajahan,” katanya.
Laporan terdahulu mengenai rundingan langsung antara AS dan Hamas dikatakan menimbulkan kemarahan pihak berkuasa Israel.
Walaupun pemimpin Hamas menyatakan keterbukaan untuk berdamai, pegawai AS menegaskan, Hamas masih belum menunjukkan komitmen serius untuk menghentikan perang.
“Hamas masih belum menunjukkan kesungguhan terhadap perdamaian,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House kepada Sky News, sambil menambah Trump telah menuntut kumpulan itu meletakkan senjata.
“Hamas terus menahan tebusan secara tidak sah, termasuk warga AS dan belum menunjukkan perubahan tingkah laku yang boleh membawa kepada penghentian serangan terhadap orang awam,” katanya lagi.
Walaupun kehilangan ribuan anggotanya termasuk beberapa pemimpin utama akibat perang ini, Hamas masih mengekalkan kehadiran yang kuat di Gaza dan kekal sebagai pihak penting dalam sebarang perjanjian gencatan senjata.
Israel pula dilihat semakin menggandakan operasi ketenteraannya dalam usaha menguasai kawasan besar Gaza serta mengambil alih pengagihan bantuan di seluruh wilayah berkenaan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami