DUNIA

Hamas sedia serah pentadbiran Gaza kepada Jawatankuasa Kebangsaan

Bernama 03/02/2026 | 04:50 MYT
Hamas telah memuktamadkan rancangan untuk menyerahkan aset kerajaan dan pentadbirannya kepada Jawatankuasa Kebangsaan Gaza, yang akan mengambil alih kawalan Semenanjung Gaza sebaik memasuki wilayah itu. - Gambar fail Reuters
GAZA: Hamas mengumumkan pada Isnin bahawa ia telah memuktamadkan rancangan untuk menyerahkan aset kerajaan dan pentadbirannya kepada Jawatankuasa Kebangsaan Gaza, yang akan mengambil alih kawalan Semenanjung Gaza sebaik memasuki wilayah itu melalui pintu sempadan Rafah, lapor Xinhua.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, proses penyerahan akan bermula serta-merta selepas ketibaan jawatankuasa berkenaan di Gaza dan akan dijalankan secara telus serta menyeluruh merangkumi semua sektor.

Beliau berkata, sebuah badan peringkat tinggi telah dibentuk bagi memantau proses berkenaan, melibatkan wakil daripada puak-puak Palestin, pemimpin kabilah, tokoh masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa.

Qassem menggesa semua pihak supaya mempermudah tugas jawatankuasa itu, sambil menyifatkannya sebagai penting bagi pemulihan Gaza selepas apa yang disebutnya sebagai "malapetaka" akibat perang Israel selama dua tahun.

Bagaimanapun, seorang ahli Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Semenanjung Gaza berkata, masalah teknikal setakat ini menghalang ahli jawatankuasa daripada memasuki kawasan itu melalui lintasan Rafah.

Aed Yaghi berkata dalam satu sidang media bahawa jawatankuasa itu berharap dapat memasuki Gaza dalam beberapa hari lagi namun tidak memperincikan halangan yang dihadapi.

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa yang enggan dikenali mendedahkan, badan itu masih belum mempunyai ibu pejabat atau belanjawan operasi.

Beliau berkata, sebuah bangunan atau plot tanah di Bandar Gaza mungkin disewa untuk memulakan tugas, dan setakat ini tiada pembiayaan yang diterima.

Jawatankuasa itu merancang untuk mengadakan pertemuan dengan puak Palestin dan pegawai kerajaan sebaik tiba bagi mengatur penyerahan kementerian serta pejabat kerajaan supaya operasi dapat disambung semula, kata ahli berkenaan.

--BERNAMA-XINHUA






#Hamas #pentadbiran Gaza #Jawatankuasa Kebangsaan Gaza #pintu sempadan Rafah