DUNIA
Hamas usaha pastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata
Sejumlah besar trak bantuan dilaporkan tidak dibenarkan memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom (gambar) pada Sabtu dan masih berada di bawah kawalan tentera Israel. - Gambar fail/REUTERS
GAZA CITY/ISTANBUL: Seorang pemimpin kanan Hamas pada Sabtu berkata kumpulannya sedang menyelaraskan usaha dengan pelbagai pihak bagi memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, Izzat al-Rishq menegaskan bahawa Hamas kekal komited untuk "menggerakkan segala sumber dan usaha bagi membantu rakyat di Semenanjung Gaza, meskipun berdepan kemusnahan akibat pembunuhan beramai-ramai Israel dan kehancuran kehidupan harian di wilayah itu."
"Hamas terus berhubung dengan pelbagai negara dan pihak yang mesra bagi menjamin kemasukan bantuan dan misi kemanusiaan ke Gaza," katanya.
Menurut Rishq, Hamas juga sedang berusaha memastikan Israel mematuhi "semua terma perjanjian gencatan senjata bagi menjamin proses pemulihan, pembinaan semula dan kehidupan yang bermaruah untuk seluruh rakyat Palestin."
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel mula berkuat kuasa pada Jumaat.
Perjanjian itu membenarkan kemasukan ratusan trak bantuan ke Gaza bagi mengelak krisis kebuluran dalam kalangan 2.4 juta penduduk wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, sumber Palestin memberitahu Anadolu bahawa sejumlah besar trak bantuan tidak dibenarkan memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom di selatan pada Sabtu dan masih berada di bawah kawalan tentera Israel.
Sumber itu turut mendakwa jumlah bantuan yang sampai setakat ini "masih pada kadar biasa seperti beberapa bulan kebelakangan ini dan tidak menunjukkan peningkatan ketara di bawah perjanjian gencatan senjata."
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan pelaksanaan fasa pertama pelan 20 perkara yang dibentangkannya pada 29 Sept bagi mencapai gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tawanan Israel dengan pertukaran kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa kedua pelan pula memperuntukkan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera negara Arab dan Islam, dan perlucutan senjata Hamas.
-- BERNAMA