[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
INTERNATIONAL

Hamas, warga Gaza berkumpul menjelang pembebasan tiga tebusan

Agensi 15/02/2025 | 08:01 MYT
Angggota Hamas dan penduduk tempatan berkumpul di bandar selatan Gaza, Khan Younis menjelang pembebasan tiga tebusan yang dijangka berlaku pada Sabtu. - Foto Reuters
KHAN YOUNIS: Angggota Hamas dan penduduk tempatan berkumpul di bandar selatan Gaza, Khan Younis menjelang pembebasan tiga tebusan yang dijangka berlaku pada Sabtu.

Dalam masa sama, tebusan Iair Horn, Sagui Dekel-Chen dan Sasha Troufanov dijangka kembali dari Gaza selepas pihak Hamas memberitahu akan membebaskan tahanan sebagai pertukaran kepada 369 tahanan dan banduan Palestin.

Dekel-Chen, seorang warga Amerika Syarikat (AS)-Israel, Troufanov, seorang warga Rusia-Israel, dan Horn yang ditahan di Kibbutz Nir Oz, salah satu komuniti di sekitar Semenanjung Gaza dijangka dibebaskan pada hari ini.

Semalam, Israel memberi amaran, Hamas mesti membebaskan tiga tebusan yang masih hidup hujung minggu ini atau menghadapi sambungan perang di Gaza, selepas kumpulan pejuang itu menyatakan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata.

Sumber Palestin melaporkan, kemajuan dalam usaha menyelamatkan perjanjian gencatan senjata terjejas teruk selepas pejuang Hamas berkata ia tidak akan membebaskan tebusan pada Sabtu, atas alasan Israel melanggar syarat gencatan senjata.

Israel membalas dengan amaran sekiranya Hamas gagal membebaskan tebusan mengikut jadual, ia akan menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza.

Perang di Gaza berlarutan lebih 15 bulan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.



#gencatan senjata #Hamas #Khan Younis #pembebasan tahanan