DUNIA
Hampir 400 murid alami keracunan makanan selepas menikmati Program Makanan Percuma Indonesia.

Program Makanan Percuma Indonesia yang dilancarkan Januari lalu adalah sebahagian daripada program utama Presiden Prabowo Subianto yang telah diperluas kepada lebih 15 juta penerima setakat ini. - Gambar Reuters/Willy Kurniawan
Sekurang-kurangnya 400 murid terdiri daripada pelajar prasekolah sehingga sekolah rendah disahkan mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan percuma di bawah program kerajaan di wilayah Bengkulu, Indonesia pada Khamis lalu.
Memetik Reuters, Timbalan Gabenor Bengkulu, Mian berkata, operasi dapur yang terlibat akan dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Saya amat menghargai Bupati Lebong,Azhari dan seluruh pasukan atas tindak balas pantas mereka dalam menangani hampir 400 kes yang diuruskan dengan sangat baik.
"Selepas ini, operasi dapur akan digantung sementara bagi membuka jalan kepada siasatan. Ini adalah bidang siasatan pasukan Badan Gizi Nasional (BGN) dan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.Ujarnya lagi, tumpuan kerajaan tempatan adalah memastikan semua kanak-kanak yang terkesan cepat pulih dan sihat dan akan menangani perkara ini tanpa menunding jari.
Dalam pada itu, Mian juga berkata, pihaknya akan memastikan ibu bapa segera membawa anak mereka ke hospital.
Program Makanan Percuma Indonesia yang dilancarkan Januari lalu adalah sebahagian daripada program utama Presiden Prabowo Subianto yang telah diperluas kepada lebih 15 juta penerima setakat ini.
Namun beberapa siri keracunan makanan besar-besaran dilaporkan di seluruh kepulauan, melibatkan ratusan mangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami