[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Hampir 70 cedera dalam insiden kemalangan perlumbaan basikal di Jerman

Bernama 07/09/2025 | 22:20 MYT
Kemalangan dalam satu perlumbaan berbasikal di barat daya Jerman mencetuskan operasi menyelamat besar-besaran dengan empat helikopter penyelamat dan sejumlah besar ambulans dikerah ke lokasi kejadian. - Foto Facebook Wilhelm Bartler
STUTTGART (Jerman): Kira-kira 70 peserta cedera dalam satu perlumbaan berbasikal di barat daya Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seorang jurucakap polis menyifatkannya sebagai "kemalangan melibatkan ramai pelumba" semasa acara "Riderman" berhampiran bandar Bad Durrheim di timur Black Forest dalam negeri Baden-Wurttemberg.

Menurut laporan, sekitar 20 peserta cedera parah. Seramai 25 lagi yang cedera ringan sedang dirawat di lokasi kejadian dan dibawa ke hospital. Kira-kira 35 lagi peserta perlumbaan juga dipercayai mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan itu mencetuskan operasi menyelamat besar-besaran dengan empat helikopter penyelamat dan sejumlah besar ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian.

Polis menolak sebarang pengaruh luaran dalam insiden perlumbaan itu.

Berikutan kemalangan itu, semua acara perlumbaan dibatalkan oleh penganjur manakala perlumbaan yang sedang berlangsung dihentikan serta-merta.

"Riderman" merupakan antara perlumbaan berbasikal amatur paling terkenal di selatan Jerman dan menarik ratusan peserta setiap tahun.

-- BERNAMA

#Jerman #kemalangan #Riderman #lumba basikal