[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
DUNIA

Hanoi sedia anjur Festival Budaya Dunia pertama

Bernama 08/10/2025 | 23:50 MYT
Festival Budaya Dunia pertama akan berlangsung dari 10 hingga 12 Okt di Thang Long Imperial Citadel, Hanoi. - Foto UNESCO
HANOI: Hanoi bersiap sedia menjadi tuan rumah Festival Budaya Dunia (CWFH) pertama dari 10 hingga 12 Okt di Kota Diraja Thang Long, bagi meraikan kepelbagaian budaya global serta menggalakkan pertukaran antara masyarakat melalui seni, fesyen, filem dan kulinari.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa festival anjuran Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (MCST) dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jawatankuasa Rakyat Hanoi itu merupakan antara aktiviti diplomasi budaya terpenting negara bagi tahun 2025.

Menurut penganjur, festival itu akan menghimpunkan penyertaan 48 negara dengan 45 ruang budaya kebangsaan, 34 reruai makanan antarabangsa, 23 kumpulan seni, 12 unit penerbitan serta tayangan filem dari 22 negara.

Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa MCST, Nguyen Phuong Hoa, menyifatkannya sebagai festival budaya terbesar yang pernah diadakan di Vietnam, yang akan menghormati semangat perpaduan dalam kepelbagaian budaya dunia serta menegaskan peranan penting budaya sebagai jambatan lestari yang menghubungkan negara-negara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung akan menikmati pengalaman imersif penuh warna melalui persembahan seni, pakaian tradisional, muzik dan tarian rakyat, sajian antarabangsa serta tayangan filem - semuanya berlatarbelakangkan warisan dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Kota Diraja Thang Long yang menjadi simbol budaya ibu negara.

Majlis perasmian pada 10 Okt akan menampilkan bintang-bintang Vietnam bersama artis antarabangsa dengan gabungan seni tradisional dan moden.

Antara acara utama ialah pertunjukan fesyen pada 11 Okt yang mempersembahkan hampir 100 pakaian tradisional dari negara peserta. Pertunjukan itu bukan sekadar acara fesyen, tetapi satu perayaan maraikan identiti dan warisan, dengan setiap busana menceritakan sejarah, seni dan semangat sesebuah negara.

Majlis penutup pada 12 Okt pula akan menampilkan persembahan oleh artis tempatan dan antarabangsa dengan gabungan pertunjukan langsung serta paparan peta tiga dimensi (3D).

Pengunjung boleh meneroka pavilion yang mewakili hampir 50 negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Rusia, Perancis, Amerika Syarikat, Iran, Laos dan Filipina.

Setiap ruang pameran akan memperkenalkan tradisi, bahasa dan seni tempatan selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba pakaian tradisional serta menyertai aktiviti interaktif.

CWFH juga menampilkan tayangan filem antarabangsa dan pesta makanan jalanan pelbagai budaya, membolehkan pengunjung menikmati hidangan istimewa dari seluruh dunia serta menyertai bengkel kulinari.

Kemasukan adalah percuma kepada orang ramai mulai 11 hingga 12 Okt, manakala mereka yang ingin menghadiri majlis perasmian dan penutupan boleh mendaftar untuk mendapatkan tiket percuma di laman sesawang rasmi worldculturefestival.vn.

-- BERNAMA



#Hanoi #Festival Budaya Dunia #aktiviti diplomasi budaya