DUNIA

AS hantar notis tarif dan perjanjian perdagangan mulai Isnin - Trump

Bernama 07/07/2025 | 06:45 MYT
Trump sebelum ini menangguhkan pelaksanaan tarif timbal balik ke atas kebanyakan rakan dagang selama 90 hari -- tempoh yang dijadual tamat pada 9 Julai. - Foto Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mula menghantar surat kepada negara-negara rakan dagangnya mulai Isnin bagi memaklumkan tentang perjanjian dan pelaksanaan tarif baharu, kata Presiden AS Donald Trump pada Ahad, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menghantar surat kepada negara-negara rakan dagang mulai 8 Julai untuk memaklumkan pelaksanaan tarif baharu, termasuk kadar asas 10% dan tarif timbal balik berdasarkan defisit perdagangan.
  • Trump turut mengumumkan tarif tambahan 10% terhadap mana-mana negara yang menyokong dasar anti-Amerika yang dikaitkan dengan BRICS, tanpa sebarang pengecualian.
  • Menurut Setiausaha Perdagangan AS, tarif baharu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2025, dengan rundingan dan kadar akhir masih dalam proses penetapan.


Trump sebelum ini menetapkan kadar asas tarif sebanyak 10 peratus ke atas hampir semua negara rakan dagang AS pada April lalu, diikuti pelaksanaan tarif timbal balik yang lebih tinggi terhadap negara tertentu berdasarkan jumlah defisit perdagangan.

Namun, beliau kemudian menangguhkan pelaksanaan tarif timbal balik ke atas kebanyakan rakan dagang selama 90 hari -- tempoh yang dijadual tamat pada 9 Julai.

Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump memaklumkan bahawa surat berkenaan tarif atau perjanjian akan dihantar "kepada pelbagai negara di seluruh dunia" bermula tengah hari Isnin (1600 GMT).

Dalam hantaran berasingan, beliau turut mengumumkan bahawa tarif tambahan sebanyak 10 peratus akan dikenakan terhadap "mana-mana negara yang sehaluan dengan dasar anti-Amerika yang dibawa oleh BRICS."

"Tiada sebarang pengecualian akan diberikan terhadap dasar ini. Terima kasih atas perhatian anda!" tegas beliau.

BRICS merujuk kepada gabungan awal lima negara iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Pada awal 2024, Iran, Mesir, Ethiopia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menyertai kumpulan itu, diikuti Indonesia pada 2025.

Terdahulu pada Ahad, Trump memberitahu media bahawa beliau menjangkakan "sebahagian besar negara akan menerima sama ada surat atau perjanjian" selewat-lewatnya 9 Julai.

Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, kemudiannya menjelaskan bahawa tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

"Tarif akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos, namun Presiden sedang menetapkan kadar dan rundingan perjanjian ketika ini," katanya.

Antara matlamat utama pelaksanaan tarif oleh Trump adalah untuk memaksa negara lain mengurangkan halangan perdagangan terhadap barangan import dari Amerika Syarikat.

-- BERNAMA





#Donald Trump #tarif #hantar surat #rakan dagang