DUNIA
Hanya 73 trak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza ketika kebuluran semakin parah

Penduduk Palestin berjalan di sepanjang jalan menuju ke kawasan di utara Semenanjung Gaza, tempat trak bantuan kemanusiaan sedang memasuki, di Gaza City. - Gambar AP
ISTANBUL: Pihak berkuasa tempatan di Gaza pada Ahad memaklumkan, hanya 73 trak bantuan dibenarkan masuk ke wilayah itu dalam tempoh 24 jam lalu, di tengah-tengah krisis kebuluran yang semakin memburuk akibat sekatan berbulan-bulan Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan, krisis kemanusiaan kini berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan sekurang-kurangnya 133 kematian akibat kebuluran termasuk 87 kanak-kanak sejak bermulanya perang genosid oleh Israel.
Pihak berkuasa menuduh Israel sengaja mencetuskan kekacauan dan kebuluran dalam wilayah itu.
"Kebuluran kini merebak pada kadar yang membimbangkan dan menjejaskan seluruh penduduk Gaza, termasuk 1.1 juta kanak-kanak," menurut kenyataan itu.Walaupun beberapa kerajaan dan organisasi antarabangsa mengumumkan rancangan untuk menghantar ratusan trak bantuan ke Gaza, kenyataan itu memaklumkan bahawa hanya 73 buah trak yang sampai, malah sebahagiannya dilaporkan telah dirompak atau disekat di bawah pemantauan Israel.
Pejabat media turut mendedahkan bahawa tiga penghantaran bantuan melalui udara telah dibuat ke Gaza, namun jumlah keseluruhan muatan hanya bersamaan dengan dua buah trak.
Lebih membimbangkan, bantuan udara dijatuhkan ke kawasan bertanda "zon merah" iaitu zon pertempuran aktif dalam peta tentera Israel yang tidak dapat diakses dengan selamat oleh orang awam.
"Apa yang sedang berlaku ini adalah satu sandiwara," kata pejabat itu, sambil menuduh masyarakat antarabangsa bersekongkol melalui "janji palsu" dan "maklumat mengelirukan."
Pejabat itu mengulangi gesaan supaya semua lintasan sempadan dibuka tanpa syarat dan bantuan makanan, air serta susu bayi dibenarkan masuk segera.
Menurut pihak berkuasa Palestin, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan setiap hari bagi memenuhi keperluan 2.4 juta penduduknya.
Pada Ahad, Israel mengumumkan rancangan menghentikan serangan buat sementara secara setempat bagi membolehkan penghantaran bantuan melalui koridor selamat yang ditetapkan, selepas puluhan rakyat Palestin dilaporkan mati kebuluran di wilayah yang dikepung itu.
Jordan pula memaklumkan bahawa tiga penghantaran bantuan udara dilakukan ke Gaza lebih awal pada hari yang sama dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Rakaman menyayat hati memaparkan penduduk yang terlalu kurus, sebahagiannya tinggal rangka, tumbang akibat keletihan, dehidrasi dan kelaparan berpanjangan.
Israel melaksanakan sekatan terhadap Gaza sejak 18 tahun lalu dan menutup sepenuhnya semua lintasan sejak 2 Mac, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami