ANKARA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hanya empat hospital beroperasi pada tahap minimum dan menawarkan perkhidmatan yang sangat terhad di utara Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Misi WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke utara Gaza mendapati Hospital Al-Ahli Arab kini hanya beroperasi separuh daripada perkhidmatan sebelumnya berikutan kekurangan bahan api, kakitangan dan bekalan, kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

WHO dan rakan PBB sekali lagi melaksanakan misi ke hospital Al-Ahli Arab dan hospital Al-Shifa di utara Gaza pada Rabu.

Beliau berkata pasukan WHO dan PBB menyediakan ubat-ubatan, larutan IV dan bekalan untuk pembedahan, merawat orang yang cedera dan membantu wanita yang melahirkan anak.

"Hospital Al-Ahli menerima ramai pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan. Di halaman hospital, terdapat mayat yang masih tidak dapat dikebumikan," kata Ghebreyesus.

Beliau berkata ehingga dua hari lepas, hanya Al-Ahli merupakan hospital terakhir di utara Gaza yang berfungsi dengan mereka yang cedera boleh menjalani pembedahan.

Menurut maklumat yang diperoleh oleh pasukan WHO, dewan bedah Al-Ahli tidak lagi berfungsi kerana "kekurangan atau ketiadaan pakar, bekalan elektrik, bahan api, air, makanan dan bekalan perubatan.

"Kini tiada lagi hospital yang beroperasi di utara Gaza," katanya.

Israel yang menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, membunuh hampir 20,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selain mencederakan 52,586 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan di kawasan itu.

Serangan Israel telah memusnahkan Gaza dengan hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal di selain berdepan krisis kekurangan makanan dan air bersih.

-- BERNAMA