Hanya memetik buah zaitun, wanita Palestin cedera diserang peneroka haram Israel

Afaf mendapati kira-kira 20 orang peneroka haram Israel mula memukul kepalanya sehingga dia jatuh ke tanah dan tidak sedarkan diri. - Reuters.
TEBING BARAT: Cinta terhadap pohon zaitun tanpa disangka membawa padah buat Afaf Abu Alia, seorang wanita Palestin berusia 55 tahun, apabila dia dibelasah teruk oleh sekumpulan peneroka haram Israel di ladang berhampiran kampung Turmus Ayya pada 19 Oktober lalu.
Dalam temu bual bersama Reuters, Afaf menceritakan detik cemas ketika diserang sewaktu memetik hasil zaitun, susulan serangan yang sempat dirakam oleh seorang aktivis di lokasi kini tular di media antarabangsa.
“Kami sedang memetik buah zaitun, kemudian sebuah kenderaan lalu di kawasan itu, tiba-tiba seorang wanita menjerit, ‘Peneroka!’.
“Tapi kami tak nampak mereka kerana mereka bersembunyi di celah pokok zaitun. Wanita itu menjerit lagi, ‘Peneroka!’. Saya, adik ipar perempuan, ipar lelaki dan anak lelaki saya terus lari meninggalkan kawasan itu,” kata Afaf.Bercerita tentang insiden seterusnya, Afaf berkata, semasa mereka bergegas menaiki bukit, tentera Israel datang dari arah belakang dan menahan ipar lelakinya.
“Kami terus berjalan, tetapi mereka menembak gas pemedih mata ke arah kami. Saya mula rasa pening dan sesak nafas,” katanya.
Ketika melihat sekeliling, Afaf mendapati kira-kira 20 orang peneroka haram Israel mula memukul kepalanya sehingga dia jatuh ke tanah dan tidak sedarkan diri. Dua orang kemudian datang mengangkatnya dari tanah.
Ibu kepada lima anak itu mengalami pendarahan ketika dibawa ke hospital, malah doktor berkata beliau pada awalnya dimasukkan ke unit rawatan rapi tetapi kini berada dalam keadaan stabil.
Seorang saksi tempatan, Yasser Alqam, 57 tahun, turut menceritakan detik cemas ketika dia dan wartawan Amerika Syarikat, Jasper Nathaniel melarikan diri daripada kira-kira 100 peneroka yang mengejar mereka dan memecahkan cermin kereta mereka.
“Apabila kami sampai di sini, terdapat seorang wanita sedang menuai pokok zaitun. Kemudian seorang lelaki berbaju tanpa lengan putih dengan topeng datang kepadanya dan memukulnya sekali. Dia jatuh ke tanah, tepat di sini,” kata Yasser menunjukkan lokasinya.
Beliau menambah bahawa tentera yang berada di lokasi hanya menunggu sehingga peneroka pergi sebelum membenarkan mereka meneruskan perjalanan, meninggalkan mereka bersendirian dengan peneroka di kawasan itu.
Menurut Suruhanjaya Penempatan dan Rintangan Tembok Palestin (CWRC), lebih 10,000 pokok zaitun telah rosak atau dimusnahkan pada 2024.
“Peneroka turut membakar kebun, menebang pokok zaitun dengan gergaji rantai, serta memusnahkan rumah dan infrastruktur pertanian. Serangan meningkat 13 peratus pada 2025 berbanding tempoh sama pada 2024,” kata Ajith Sunghay, Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Aktivis berkata, keganasan peneroka haram semakin meningkat selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel, dengan pokok zaitun menjadi sasaran kerana dianggap simbol hubungan rakyat Palestin dengan tanah mereka.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami