WUJUD harapan baharu dalam proses dialog damai Selatan Thailand selepas kejayaan Perdana Menteri Srettha Thavisin membentuk kerajaan.

Harapan itu juga menggunung selepas Setiausaha Agung Parti Prachachart, atau juga disebut sebagai Parti Ummah - parti dominan di wilayah-wilayah majoriti Melayu di Selatan Thai, berjaya dilantik sebagai Menteri Keadilan dalam kabinet Srettha.

Oleh itu, Setiausaha kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Thailand Muk Sulaiman percaya, beberapa strategi dalam proses damai harus diubah bagi memastikan ia berjaya mencapai matlamatnya.

Ini terutamanya individu-individu yang menjadi wakil kerajaan Thailand yang terlibat dalam proses berkenaan, yang menurut beliau, harus bebas daripada pengaruh tentera.

“Kita kena faham bahawa kerajaan sekarang bukan kerajaan askar, bukan kerajaan yang dirampas kuasa oleh askar. Bukan kerajaan diktatorship. Ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Maka wakil rakyat dan perdana menteri semua itu harus insaf bahawa dia buat kerja utk rakyat dan bebas daripada pengaruh dan tekanan askar.

"Dia ini ikhlas lebih daripada yang (kumpulan) lepas yang kebanyakkannya datang daripada askar dan tidak ikhlas,” jelasnya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Pertukaran Budaya Model Asia Tenggara anjuran Majlis Dakwah Rantau Asia Tenggara Dan Pasifik di wilayah Pattani, Thailand baru-baru ini.

Muk juga percaya, proses keadilan di Selatan Thailand akan dipermudah, memandangkan wakil rakyat dari wilayah berkenaan, Tawee Sodsong, kini sudah dilantik sebagai Menteri Keadilan.

Keberadaan wakil parti yang menang di kebanyakan kerusi di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani dalam kabinet Perdana Menteri Srettha juga, jelas beliau mampu untuk mempercepatkan proses pembangunan infrastruktur asas, dan berupaya untuk menyumbang kepada kemakmuran rakyat.

Wilayah-wilayah majoriti Melayu, - Yala, Narathiwat dan Pattani, yang bersempadan dengan Perak dan Kelantan, merupakan antara wilayah paling miskin di Thailand.

Keadaan ini diburukkan dengan putaran konflik dan keganasan yang sudah meragut lebih 7,000 nyawa sejak 2004.