DUNIA

Harapan tipis untuk temui mangsa selamat tragedi Mount Maunganui - Polis

Agensi 24/01/2026 | 04:34 MYT
Enam individu termasuk dua remaja masih hilang dalam insiden runtuhan tanah di Mount Maunganui. -Foto fail/Reuters
MOUNT MAUNGANUI: Polis New Zealand pada Sabtu mengesahkan bahawa kemungkinan untuk menemui mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perkhemahan popular di Pulau Utara adalah amat tipis, selepas penemuan bahagian jasad manusia sepanjang operasi malam tadi.

Superintenden Polis Tim Anderson memaklumkan, enam individu termasuk dua remaja masih hilang dalam runtuhan tanah yang berlaku pada Khamis di Mount Maunganui, di pesisir timur Pulau Utara.

"Kami kini memasuki fasa pemulihan dan ini adalah berita yang amat menyedihkan bagi kami serta tentunya bagi keluarga yang terlibat.

"Sejak Khamis pagi, kami bekerjasama rapat dengan mereka dan ketika ini masih ada enam individu yang belum ditemui.

"Semua orang berharap agar ada berita positif, namun kini kami berada dalam situasi di mana penemuan bahagian jasad manusia telah dibuat sepanjang malam, dan kami sedang melalui fasa itu sekarang," katanya.

Hujan lebat berterusan telah mencetuskan runtuhan besar yang membawa bersama tanah, batu dan serpihan ke kawasan perkhemahan dipenuhi ahli keluarga yang bercuti sempena musim panas.

Operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan dan kini digantikan dengan operasi mencari dan mengenal pasti mangsa.

Menurut Jabatan Bomba dan Kecemasan New Zealand, seramai 35 anggota penyelamat bersama jentera berat meneruskan kerja mengalihkan runtuhan pada Sabtu, susulan satu kejadian runtuhan kecil yang mengganggu kawasan pencarian pada malam Jumaat.

Sementara itu, hujan lebat yang melanda rantau berkenaan minggu ini turut menyebabkan satu lagi insiden tanah runtuh di kawasan kejiranan Papamoa, berhampiran lokasi utama kejadian, yang mengakibatkan dua kematian.





#New Zealand #SAR #tanah runtuh #Mount Maunganui