SINGAPURA: Harga bahan api di Singapura mencatat trend peningkatan susulan konflik berterusan di Asia Barat, dengan RON95 mencecah S$3.47 (S$1=RM3.06) seliter setakat Rabu berbanding S$2.92 awal bulan ini.
Menurut portal perbandingan harga bahan api motorist.sg, harga diesel meningkat sejak tiga minggu lalu selepas penutupan Selat Hormuz, dengan harga tertinggi S$3.63 seliter setakat 18 Mac.
Advertisement
Harga pam di Singapura merupakan yang tertinggi di rantau ini.
Sebagai perbandingan dengan harga bahan api di Malaysia, harga RON95 di Singapura adalah sekitar RM10.64 seliter berbanding RM1.99 seliter di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM3.27 seliter tanpa subsidi.
Selain itu, harga diesel di Singapura adalah sekitar RM11.13 seliter berbanding RM4.72 seliter di Malaysia.
Susulan peningkatan harga, penyedia perkhidmatan pengangkutan mengambil langkah bagi menyerap kos dan mengurangkan beban pemandu.
Platform e-hailing Grab berkata ia akan terus memberikan diskaun bahan api kepada pemandu melalui kerjasama dengan stesen minyak bagi membantu mereka mengurus kos.
“Kami memahami bahawa kenaikan harga bahan api memberi kesan kepada pendapatan rakan pemandu dan penghantar kami.
“Kami sentiasa berunding rapat dengan kesatuan dan rakan industri untuk memantau keadaan serta meneroka langkah tambahan bagi menyokong komuniti rakan kami,” kata jurucakap Grab seperti dipetik Channel News Asia pada Khamis.
Pengendali teksi terbesar Singapura, ComfortDelGro berkata ia akan melaksanakan “yuran pemandu” sementara bagi tempahan melalui aplikasi CDG Zig susulan kenaikan harga bahan api.
Langkah itu bertujuan mengurangkan tekanan kewangan ke atas pemandu akibat kenaikan harga bahan api, katanya.
Sejak konflik bermula pada 28 Feb, pihak berkuasa memantau rapat perkembangan dan kesannya terhadap Singapura, yang merupakan pengimport bersih minyak mentah dan gas asli.
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata kerajaan bersedia melaksanakan langkah tambahan untuk rakyat Singapura selain yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Tan See Leng berkata Singapura telah mewujudkan stok simpanan bahan api gas dan diesel untuk digunakan oleh syarikat penjanaan kuasa sekiranya berlaku gangguan bekalan serius, serta sedang mempelbagaikan sumber import gas asli cecair (LNG).
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pengguna mungkin berdepan kenaikan harga elektrik dalam beberapa bulan akan datang susulan kenaikan harga gas global akibat konflik tersebut.
-- BERNAMA