[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Harga beras Jepun turun bawah AS$27 bagi setiap 5kg buat kali pertama sejak Mac

Bernama 23/06/2025 | 20:30 MYT
Harga purata beras di Jepun jatuh di bawah 4,000 yen (AS$27) bagi setiap lima kilogram (kg) buat kali pertama dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan kepada 3,920 yen. - Gambar hiasan
TOKYO: Harga purata beras di Jepun jatuh di bawah 4,000 yen (AS$27) bagi setiap lima kilogram (kg) buat kali pertama dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan kepada 3,920 yen, kata kerajaan pada Isnin, dengan pengagihan stok simpanan yang meningkat dipercayai membantu menurunkan harga.
Menurut Agensi Berita Kyodo, dalam tempoh tujuh hari sehingga 15 Jun, harga purata beras yang dijual di pasar raya seluruh negara turun 256 yen bagi setiap lima kg berbanding minggu sebelumnya, merosot ke paras 3,000 yen buat kali pertama sejak minggu berakhir 2 Mac, menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan.
Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi memberitahu pemberita, penurunan itu sebahagiannya disebabkan pelepasan rizab beras tambahan, sambil menyatakan bahawa "mesej jelas daripada kerajaan terbukti berkesan."
Bahagian pasaran bagi beras campuran, termasuk beras rizab, meningkat enam mata peratusan kepada 50 peratus.
Perdana Menteri, Shigeru Ishiba sebelum ini berikrar untuk menurunkan harga runcit purata lima kg beras ke paras 3,000 yen menjelang akhir Jun.
Tahun lalu, sebuah isi rumah menggunakan sebanyak 60.20 kg beras, menurut data perbelanjaan pengguna kerajaan. Walaupun selepas penurunan harga terbaru, harga purata beras kekal hampir dua kali ganda berbanding setahun sebelumnya.
Harga pengguna teras Jepun pada Mei meningkat 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, menandakan kenaikan terbesar dalam tempoh lebih dua tahun, dengan harga beras mencatat rekod baharu untuk bulan kelapan berturut-turut dengan lonjakan 101.7 peratus akibat kekurangan bekalan.
Sementara itu pada Isnin, langkah-langkah dikuatkuasakan bagi melarang penjualan semula beras yang dibeli di kedai runcit untuk memastikan pengguna dapat membeli beras pada harga yang stabil.
Di bawah larangan itu, mereka yang menjual beras pada harga lebih tinggi daripada harga belian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga 1 juta yen (US$6,767) atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#harga beras Jepun #harga turun #MAC #shinjiro koizumi