DUNIA

Harga lebih 20,000 barangan makanan, minuman di Jepun meningkat pada 2025

Bernama 26/12/2025 | 08:32 MYT
Kenaikan harga tertinggi dicatatkan bagi produk minuman dan snek iaitu sebanyak 18 peratus, didorong peningkatan harga coklat susulan lonjakan kos biji koko. - Reuters
TOKYO: Sebanyak 20,609 produk makanan dan minuman di Jepun mengalami kenaikan harga pada 2025, didorong terutamanya oleh peningkatan kos bahan mentah dan buruh, sekali gus menonjolkan bebanan yang semakin meningkat terhadap isi rumah, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sebuah institut penyelidikan Jepun pada Jumaat memaklumkan bahawa keadaan yang berlaku ketika nilai yen menyusut, menandakan kali pertama jumlah produk terjejas melebihi 20,000 sejak 2023, apabila angka berkenaan mencecah 32,396.

Data oleh Teikoku Databank Ltd menunjukkan produk perasa mencatatkan peningkatan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 6,221 produk, diikuti barangan minuman sebanyak 4,901 produk, yang terkesan akibat kenaikan harga biji kopi, serta produk makanan diproses termasuk beras dalam bungkusan, sebanyak 4,791 produk.

Kenaikan harga tertinggi dicatatkan bagi produk minuman dan snek iaitu sebanyak 18 peratus, didorong peningkatan harga coklat susulan lonjakan kos biji koko. Secara purata, kadar kenaikan harga adalah 15 peratus, menurun daripada 17 peratus pada tahun sebelumnya.

Teikoku memaklumkan bahawa sebanyak 3,593 produk dijangka mengalami kenaikan harga antara Januari hingga April, satu penurunan ketara berbanding 6,121 produk bagi tempoh sama tahun lalu. Namun, trend pemindahan kos kepada pengguna terus meningkat susulan kenaikan kos berkaitan perkhidmatan, termasuk logistik dan buruh.

-- BERNAMA

#Jepun #Harga Barangan #produk jualan #kenaikan harga #kos bahan mentah