DUNIA
Harga minyak susut AS$1 susulan Iran mahu tamat konflik

Langkah ini meningkatkan harapan terhadap gencatan senjata dan mengurangkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak dari rantau Asia Barat. - Gambar hiasan
HARGA minyak mentah dunia jatuh lebih AS$1 setong pada Isnin dalam dagangan yang tidak menentu.
Ini susulan laporan bahawa Iran sedang berusaha mencapai penghentian permusuhan dengan Israel.
Langkah ini meningkatkan harapan terhadap gencatan senjata dan mengurangkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak dari rantau Asia Barat.
Niaga hadapan Brent merosot AS$1 atau 1.35 peratus kepada AS$73.23 setong.Manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat susut AS$1.21 atau 1.66 peratus kepada AS$71.77 setong.
Menurut laporan Reuters, Iran telah meminta Qatar, Arab Saudi dan Oman untuk mendesak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar menggunakan pengaruhnya terhadap Israel bagi melaksanakan gencatan senjata segera.
Sebagai balasan, Tehran berkompromi dalam rundingan program nuklearnya.
Sebelum itu, Wall Street Journal turut melaporkan bahawa Iran mencari jalan damai selepas beberapa serangan udara saling berbalas antara kedua-dua negara.
Penganalisis dari Mizuho, Robert Yawger berkata, para pedagang kini mengurangkan pertaruhan bahawa konflik ini akan berkembang menjadi perang serantau yang lebih besar, yang boleh mengancam infrastruktur tenaga utama.
"Lonjakan harga minyak lebih 7 peratus pada Jumaat lalu adalah reaksi terhadap serangan balas Israel ke atas Iran, yang didakwa hampir memiliki bom atom", katanya.
Namun, menurut penganalisis tenaga Rory Johnston dari Commodity Context, kenaikan mendadak itu membawa pasaran ke “wilayah terlebih beli”, yang lazimnya diikuti dengan penurunan harga.
"Peningkatan harga pada Khamis dan Jumaat lalu didorong oleh kemasukan dana spekulatif yang besar
"Apabila pasaran berada dalam keadaan seperti ini, ia mudah terdedah kepada pelupusan besar-besaran," ujar beliau.
Walaupun serangan udara melibatkan sasaran tenaga telah berlaku, infrastruktur eksport utama seperti Kharg Island masih belum disentuh.
"Selagi Kharg Island belum diserang, pasaran masih dalam mod bertenang," jelas Yawger.
Beliau menambah, sebarang serangan terhadap hab eksport minyak Iran itu boleh melonjakkan harga kepada AS$90 setong.
Sementara itu, ketua penyelidikan kumpulan Onyx Capital, Harry Tchilinguirian menekankan bahawa sejauh ini, kapasiti pengeluaran dan eksport masih tidak terjejas.
"Apa yang penting adalah sama ada konflik ini mula mengganggu aliran tenaga
"Setakat ini, Iran belum menghalang laluan di Selat Hormuz", katanya.
Namun, menurut kenyataan pasukan tentera laut serantau, gangguan elektronik terhadap sistem navigasi kapal dagang di sekitar Selat Hormuz dan Teluk semakin meningkat, memberi kesan terhadap keselamatan pelayaran.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami