RAKAMAN video seekor harimau liar mengutip bekas botol plastik dalam sebuah taman negara di India tular di media sosial baru -baru ini telah 'menginsafkan' netizen supaya menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah merata-rata.

Kejadian berlaku di Taman Negara Tadoba, Maharashta dirakamkan jurugambar hidupan liar, Deep Kathikar telah menyaksikan bagaimana harimau itu mencengkam bekas botol plastik dari lubang air dengan mulutnya dan membuangkan di hadapannya.

Menurut Kathikar, perlakuan pelik harimau Tigress Bhanuskhindi dari Ramgegi Hill dirakamkan olehnya pada Disember 2023.

"Ia sebagai sindiran oleh harimau itu kepada manusia. Kami akan menjaga kebersihan hutan kami," menurut kapsyen dalam video tersebut.

Pegawai Perkhidmatan Hutan India, Susanta Nanda yang turut berkongsi video itu di akaun X dan menggesa orang ramai supaya tidak meninggalkan sampah plastik merata-rata termasuk di alam semula jadi.

"Mengapa haiwan perlu membersihkan sampah. Tolong berhenti membawa plastik dan styrofoam ke dalam hutan belantara," menurut ciapannya.

Kemudian Nanda mendedahkan dalam ciapan lain bahawa harimau itu mengambil botol plastik dan melemparkan ke hadapan kereta jurugambar tersebut.

"Mesej ini adalah jelas dan kuat kepada kita semua," tambahya.

Seorang pengguna media sosial berkata, dia kagum dengan perlakuan harimau itu dan pada masa sama sedih dan malu kerana seekor harimau terpaksa membersihkan sampah ditinggalkan manusia. - Sinar Harian memetik agensi