Skip to main content

Dunia

Harry, Meghan kembali ke UK, mengapa kemunculan mereka terasa seperti tugas rasmi diraja?

Putera Harry dan Meghan, Duke dan Duchess of Sussex, beredar selepas mengadakan lawatan ke Himmah Food Bank di Nottingham, England, pada Khamis, 15 Oktober 2026. - Gambar Reuters
Putera Harry dan Meghan, Duke dan Duchess of Sussex, beredar selepas mengadakan lawatan ke Himmah Food Bank di Nottingham, England, pada Khamis, 15 Oktober 2026. - Gambar Reuters

Advertisement

NOTTINGHAM: Ada sesuatu yang terasa begitu biasa dengan kemunculan Putera Harry dan Meghan Markle di Nottingham kali ini.

Ketika pasangan itu pertama kali mengunjungi bandar berkenaan bersama-sama pada 2017, mereka baru sahaja mengumumkan pertunangan.

Ketika itu, Meghan yang merupakan pelakon dari Amerika Syarikat (AS), diperkenalkan kepada masyarakat Britain sebagai bakal anggota keluarga diraja yang akan menjalankan tugas rasmi.

Hampir sedekad kemudian, Nottingham sekali lagi menjadi pentas penting buat Meghan, kali ini dalam apa yang boleh dianggap sebagai kemunculan semulanya di United Kingdom (UK).

Sudah beberapa tahun Meghan tidak menjalani siri program seumpama itu di Britain.

Individu yang rapat dengannya berkata, Meghan tidak berasa gementar dengan sambutan yang bakal diterimanya, sebaliknya mahu kembali bertemu orang ramai.

Namun, satu perkara perlu diperjelaskan: ini bukan tugas rasmi diraja.

Tetapi dalam banyak aspek, ia terasa seperti satu acara diraja.

Setiap program disusun dengan rapi. Harry dan Meghan mengunjungi badan kebajikan, bertemu sukarelawan, sementara kumpulan media berkongsi rakaman video dan gambar sepanjang program.

Malah, orang ramai turut berkumpul untuk melihat pasangan berkenaan, dengan Harry dan Meghan meluangkan masa menyapa mereka.

Istana Buckingham sebelum ini menjelaskan bahawa Duke dan Duchess of Sussex kini merupakan individu persendirian.

Apa sahaja yang dilakukan pasangan itu adalah urusan mereka sendiri dan tidak membawa status sebagai tugas rasmi keluarga diraja.

Tiada juga istiadat atau kemegahan diraja mengiringi kunjungan kali ini. Tiada barisan kenamaan menyambut mereka dan tiada kehadiran polis yang begitu ketara.

Namun, kemunculan itu tetap menjadi peringatan tentang daya tarikan yang masih dimiliki Harry dan Meghan.

Sebahagian besar orang ramai yang hadir untuk melihat mereka terdiri daripada golongan muda dan pelbagai latar belakang, dengan majoriti dilihat berusia bawah 30 tahun.

Suasana sepanjang program juga lebih santai dengan Harry dan Meghan sendiri mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti.

Mereka membuat kek cawan, menyediakan hidangan Afrika Barat, bermain biliard dan turut mencuba bola keranjang.

Melihat pasangan itu berinteraksi secara dekat turut mengingatkan kepada keselesaan mereka ketika menyertai program kebajikan.

Ia merupakan suasana yang begitu serasi dengan kekuatan mereka, sementara Meghan pula tampil dengan keyakinan tersendiri.

Kepulangan yang mengusik keluarga diraja

Kepulangan Harry dan Meghan bagaimanapun mencetuskan kegelisahan dalam keluarga diraja.

Raja Charles III dilaporkan hanya mendapat notis beberapa hari sebelum berita mengenai kepulangan pasangan Sussex ke UK bersama dua anak mereka, Putera Archie dan Puteri Lilibet, diketahui umum pada Ogos lalu.

Ketika Harry dan Meghan berada di Nottingham, Raja Charles pula berada di Cardiff bagi menghadiri upacara pembukaan Senedd.

Baginda kekal menjalankan tugas rasmi diraja dan menyampaikan ucapan yang menyentuh mengenai komuniti, perwatakan dan identiti, dengan mesej utama mengenai kekuatan untuk terus bertahan.

Hakikatnya, kisah Harry dan Meghan sendiri kini menuntut kesabaran daripada semua pihak.

Persoalan sering dibangkitkan mengapa pasangan berkenaan masih mendapat liputan media walaupun tidak lagi menjadi anggota keluarga diraja yang menjalankan tugas rasmi.

Jawapannya berkait rapat dengan peranan mereka dalam salah satu tempoh paling bergolak yang dialami keluarga diraja Britain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Harry dan Meghan terus mencetuskan minat khalayak, sama ada dalam kalangan mereka yang menyokong mahupun yang kurang menyenangi pasangan itu.

Pada peringkat lebih peribadi, kisah mereka turut mencerminkan betapa menyakitkannya keretakan hubungan kekeluargaan serta kesan mendalam yang boleh ditinggalkan.

Perselisihan, rasa kecewa dan kepahitan bukan sesuatu yang mudah diselesaikan, apatah lagi apabila sebahagian besar perkara itu berlaku di hadapan tatapan dunia.

Harry, Meghan bawa haluan sendiri

Kemunculan bersama Harry dan Meghan seperti yang disaksikan di Nottingham dijangka tidak akan menjadi sesuatu yang kerap berlaku, namun acara seumpamanya mungkin diadakan dari semasa ke semasa.

Wakil pasangan Sussex turut menegaskan bahawa kedua-duanya mempunyai bidang serta kepentingan masing-masing untuk diberikan tumpuan.

Meghan antaranya mempunyai rancangan untuk melancarkan versi UK bagi jenama gaya hidupnya, As Ever, yang berkemungkinan dilaksanakan sebelum Krismas.

Sementara itu, Raja Charles dijadual melakukan lawatan penting ke Caribbean pada penghujung bulan, manakala Putera William dijangka berada di India bulan depan berkaitan Anugerah Earthshot yang memberi tumpuan kepada alam sekitar.

Kedua-dua lawatan berkenaan bakal memberikan gambaran mengenai keutamaan Raja Charles dan pewaris takhta itu dalam melaksanakan tanggungjawab diraja.

Namun, jangan pula menjangkakan Harry dan Meghan akan menyambut Krismas di Sandringham bersama anggota keluarga diraja yang lain.

Sebaliknya, mereka dijangka meluangkan tempoh berkenaan bersama ibu Meghan, Doria Ragland dengan kemungkinan sambutan itu diadakan di UK.

Keluarga sememangnya rumit.

Dan kepulangan Harry serta Meghan kali ini menjadi satu lagi peringatan bahawa di sebalik gelaran, istana dan perhatian dunia, keretakan hubungan sebuah keluarga tidak pernah mudah untuk dipulihkan. - BBC

Must Watch Video

Advertisement