DUNIA
Hartawan Anil Ambani disiasat kes jenayah seleweng dana bank terbesar India

Anil Ambani kini berdepan siasatan jenayah selepas didakwa menyeleweng dana pinjaman berbilion rupee daripada bank terbesar India. - Gambar fail Reuters
MUMBAI: Hartawan ternama India, Anil Ambani kini berdepan siasatan jenayah selepas didakwa menyeleweng dana pinjaman berbilion rupee daripada bank terbesar India.
Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) dilapor menggeledah kediamannya serta pejabat Reliance Communications, mencetuskan semula kontroversi lama yang pernah menggoncang empayar keluarga Ambani.
Media antarabangsa melaporkan, CBI membuka kertas siasatan jenayah terhadap Anil Ambani susulan aduan yang dikemukakan oleh bank terbesar negara itu, State Bank of India (SBI), berhubung dakwaan penipuan kewangan.
Anil Ambani yang juga adik kepada individu terkaya Asia, Mukesh Ambani memiliki kepentingan perniagaan dalam sektor tenaga hingga pertahanan.Menurut aduan tersebut, Anil Ambani dan bekas syarikat telekom miliknya, Reliance Communications didakwa telah “menyalahgunakan” dana bank melalui transaksi yang melanggar syarat pinjaman.
SBI mendakwa, tindakan itu menyebabkan kerugian berjumlah 29.29 bilion rupee (AS$335.4 juta).
Dalam kenyataannya, CBI memaklumkan, kes telah didaftarkan dan aduan berkenaan akan disiasat secara menyeluruh.
Pihak berkuasa menggeledah premis berkaitan Reliance Communications serta kediaman Anil Ambani pada Sabtu.
Jurucakap Anil Ambani dalam reaksi balas menegaskan beliau “menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan dan dakwaan” serta akan mempertahankan dirinya di mahkamah.
“Aduan yang difailkan oleh SBI merujuk kepada isu lebih 10 tahun lalu. Pada ketika itu, Anil Ambani hanya berperanan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif syarikat tanpa penglibatan dalam pengurusan harian,” jelas jurucakap itu.
“Penting untuk dinyatakan bahawa SBI sendiri telah menarik balik prosiding terhadap lima lagi Pengarah Bukan Eksekutif. Namun, Anil Ambani telah dipilih secara selektif sebagai sasaran.”
Anil Ambani kali terakhir menjadi tumpuan umum tujuh tahun lalu selepas ahli politik pembangkang, Rahul Gandhi menuduh beliau dan Perdana Menteri, Narendra Modi terlibat dalam urus niaga meragukan membabitkan pembelian jet pejuang Rafale dari Perancis – dakwaan yang dinafikan kedua-dua pihak.
Mahkamah Agung India pada Disember 2018 menolak permintaan siasatan berhubung perjanjian jet berkenaan selepas memutuskan tiada bukti kukuh wujudnya “pilihan komersial berat sebelah” oleh kerajaan India. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami