[TERKINI] PM Anwar Umum Penghargaan Luar Biasa kepada Rakyat, 10.30 Pagi Esok – Info Terkini Di Sini
DUNIA

Harvard saman pentadbiran Trump: Pertikaian dana bilion dolar dibawa ke mahkamah

Astro Awani 21/07/2025 | 22:50 MYT
Penunjuk perasaan dari kumpulan Crimson Courage berkumpul untuk menyatakan sokongan kepada Universiti Harvard di luar sesi pendengaran di hadapan hakim persekutuan. - Foto REUTERS
BOSTON: Pertelingkahan antara Universiti Harvard dan pentadbiran Presiden Donald Trump kini dibawa ke mahkamah, dengan lebih AS$2 bilion (kira-kira RM9.4 bilion) dana persekutuan menjadi pertaruhan.


Ringkasan AI
  • Universiti Harvard menyaman pentadbiran Presiden Trump selepas dana persekutuan AS$2 bilion dibekukan serta akses visa pelajar antarabangsa disekat, kononnya sebagai tindak balas terhadap isu antisemitisme dan program DEI.
  • Pertikaian dibicarakan di mahkamah, dengan Harvard mendakwa tindakan kerajaan melanggar hak kebebasan bersuara dan cuba mengawal hal ehwal dalaman universiti tanpa prosedur rasmi.
  • Kes dijangka dibawa ke Mahkamah Agung, sebahagian daripada tekanan lebih luas terhadap institusi elit oleh pentadbiran Trump, termasuk Columbia University yang turut terkesan.


Pentadbiran Trump membekukan dana tersebut sambil menuntut perubahan drastik terhadap dasar pengambilan kakitangan, kemasukan pelajar serta amalan pengajaran universiti itu, kononnya untuk menangani isu antisemitisme dan menghentikan program DEI - Diversity, Equity and Inclusion (Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusiviti).

Selain itu, kerajaan turut menyekat akses Harvard kepada sistem visa pelajar antarabangsa yang sebelum ini membenarkan universiti itu menerima pelajar dari luar negara.

Sebagai respons, Harvard memfailkan saman dan memohon keputusan ringkas - satu keputusan awal berdasarkan fakta sedia ada tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Pendengaran kes pada Isnin berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, Allison Burroughs, yang sebelum ini pernah membuat beberapa keputusan sementara yang memihak kepada Harvard dalam kes berasingan berkaitan sistem visa pelajar.

Walaupun keputusan selepas pendengaran sehari itu dilihat tidak mungkin diumumkan serta-merta, pihak peguam Harvard merayu agar keputusan dapat dikeluarkan selewat-lewatnya 3 September - iaitu tarikh akhir yang diberikan pentadbiran Trump untuk universiti itu menyelesaikan komitmen kewangan berkaitan dana persekutuan.

Keputusan kes ini dijangka akan dirayu dan berkemungkinan dibawa ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Sepanjang prosiding, peguam Harvard, Steven Lehotsky berhujah bahawa kerajaan cuba mengawal "hal ehwal dalaman" universiti.

Namun, peguam kerajaan, Michael Velchik menegaskan, Harvard telah melanggar perintah eksekutif yang ditandatangani Trump bagi memerangi antisemitisme.

“Harvard mahu berbilion dolar dan itu sahaja sebab kita berada di sini,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Hakim Burroughs pula menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak mengemukakan sebarang dokumen atau prosedur rasmi bagi menentukan sama ada pihak pentadbiran Harvard telah mengambil langkah yang mencukupi atau sebaliknya dalam menangani isu tersebut.

“Akibatnya terhadap perlembagaan adalah sangat besar,” kata hakim itu.

Dalam pemfailan pada Jun lalu, peguam Harvard berhujah tindakan pentadbiran Trump telah melanggar hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan AS, termasuk hak universiti untuk menentukan corak pengajaran, menyatakan pendirian dan mempertahankan institusi di mahkamah.

Universiti itu juga mendakwa kerajaan tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya sebelum menggantung dana, dan tindakan itu lebih bersifat menghukum tanpa sebarang asas rasional terhadap kebimbangan yang dibangkitkan.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman AS dalam pemfailannya menyatakan bahawa dana kerajaan datang bersama "syarat jelas" yang memerlukan institusi pendidikan menyokong dasar kerajaan.

“Jika universiti gagal memenuhi syarat tersebut, dana boleh dibatalkan,” menurut hujah pihak kerajaan.

Trump sebelum ini menyifatkan tindakannya terhadap Harvard sebagai sebahagian daripada strategi rundingan, dan pernah berkata: “Saya rasa kita mungkin akan mencapai penyelesaian dengan Harvard.”

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Rumah Putih berkata: “Kami yakin Harvard akhirnya akan menyokong visi Presiden, dan melalui rundingan serta perbincangan secara ikhlas, satu penyelesaian yang baik adalah sangat berkemungkinan.”

Tindakan terhadap Harvard ini dilihat sebahagian daripada usaha lebih luas oleh pentadbiran Trump untuk memberi tekanan terhadap institusi elit Ivy League.

Awal bulan ini, Agensi Imigresen dan Kastam AS (ICE) mengemukakan sepina kepada Harvard untuk mendapatkan maklumat mengenai pelajar antarabangsa, manakala Trump sebelum ini juga mencadangkan agar status bebas cukai universiti itu dimansuhkan.

Mac lalu, Universiti Columbia di New York bersetuju dengan beberapa tuntutan pentadbiran termasuk larangan penutup muka dalam tunjuk perasaan dan semakan semula dasar kemasukan selepas diancam kehilangan dana AS$400 juta (RM1.9 bilion).

Namun, tindakan itu dilihat masih belum memuaskan pentadbiran, apabila Jabatan Pendidikan AS kini mengancam menarik balik akreditasi universiti tersebut. - Agensi






#Harvard #Harvard saman Trump #dana persekutuan #pentadbiran Donald Trump