[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Harvey Weinstein didapati bersalah atas serangan seksual

Astro Awani 11/06/2025 | 22:45 MYT
Weinstein didapati bersalah kerana melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantu produksi, Miriam Haley, pada tahun 2006. - Foto REUTERS
NEW YORK: Bekas penerbit filem terkenal Hollywood, Harvey Weinstein, telah disabitkan bersalah atas satu pertuduhan jenayah seksual oleh juri Manhattan dalam perbicaraan semula yang penuh kontroversi, selepas sabitan asalnya pada tahun 2020 dibatalkan oleh mahkamah rayuan.

Weinstein, 73, didapati bersalah kerana melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantu produksi, Miriam Haley, pada tahun 2006.

Namun, beliau dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan melibatkan Kaja Sokola, yang mendakwa diserang ketika berusia 16 tahun pada tahun 2002.

Juri masih belum mencapai keputusan terhadap pertuduhan ketiga, iaitu dakwaan rogol terhadap pelakon baharu Jessica Mann pada tahun 2013.

Perbicaraan semula ini berlangsung dalam suasana tegang, dengan laporan mengenai pertelingkahan dalam bilik juri.

Seorang juri dilaporkan menerima ugutan daripada ahli panel lain, menyebabkan hakim Curtis Farber hampir menangguhkan prosiding sebelum juri menghantar nota menyatakan mereka telah mencapai keputusan separa.

Kes ini menjadi simbol penting dalam gerakan #MeToo, yang mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh tokoh berpengaruh dalam industri hiburan.

Walaupun sabitan 2020 telah dibatalkan atas alasan kesilapan prosedur, Weinstein kekal dipenjara kerana sabitan berasingan di California pada tahun 2022, yang membawa hukuman penjara 16 tahun.

Pihak pendakwa menggambarkan Weinstein sebagai pemangsa bersiri yang menggunakan pengaruhnya untuk memerangkap wanita, manakala pihak pembelaan menegaskan hubungan itu adalah suka sama suka dan mendakwa para penuduh berbohong kerana kecewa tidak berjaya dalam industri hiburan.

Weinstein, yang hadir ke mahkamah dengan kerusi roda kerana masalah kesihatan, kini menunggu keputusan terhadap pertuduhan ketiga dan kemungkinan hukuman tambahan.








#Harvey Weinstein #serangan seksual #Miriam Haley #Kaja Sokola