NEW DELHI: Bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, yang hidup dalam buangan di India sejak dua tahun lalu, pada Rabu berkata beliau akan pulang ke tanah airnya menjelang akhir tahun ini, lapor Xinhua.
"Tarikh kepulangan saya akan diumumkan kemudian. Namun, saya akan kembali bersama rakyat saya," katanya ketika menyampaikan ucapan kepada media di New Delhi menerusi rakaman audio.
Hasina berkata beliau mahu kembali ke tanah airnya untuk memulihkan haluan pembangunan negara itu.
Dalam mesej audio berkenaan, beliau turut menuntut supaya larangan terhadap partinya, Liga Awami ditarik balik, kes palsu terhadap beliau serta ahli-ahli partinya digugurkan, dan kebebasan bersuara dipulihkan di Bangladesh.
Rakaman audio itu disiarkan pada satu acara media di sebuah kelab wartawan di ibu negara India sempena ulang tahun kedua penyingkiran Hasina daripada tampuk pemerintahan Bangladesh susulan protes pada 2024.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh Salahuddin Ahmed pada bulan lepas berkata Hasina akan ditahan sebaik sahaja beliau pulang ke negara itu kerana telah pun disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Beliau menambah bahawa kerajaan Bangladesh mahu India mengekstradisi Hasina mengikut perjanjian dua hala dan telah menghantar beberapa peringatan selepas kerajaan sementara mengemukakan permohonan ekstradisinya buat kali pertama.
Pada November 2025, sebuah tribunal khas di Dhaka menjatuhkan hukuman mati secara "in absentia" terhadap Hasina atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan semasa kebangkitan rakyat pada Julai 2024.
-- BERNAMA-XINHUA