Hasrat 'cinta' ditolak: Lelaki dipenjara seminggu sebab lumur najis sendiri ke muka wanita

Agensi
Januari 10, 2019 12:30 MYT
Razli mengambil najisnya sendiri, meletakkannya dalam beg plastik dan melumurkannya ke wajah Norlinah.
Gara-gara tidak puas hati hasrat hatinya ditolak seorang wanita, seorang lelaki di Singapura dipenjara selama seminggu selepas bertindak melumurkan najisnya ke wajah wanita terbabit.
Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, Mohamad Razli Abdul Razak, 28, mula berkenalan dengan Norlinah Yunos, 49 tahun, pada bulan Mei 2017. Norlinah bekerja sebagai pembungkus barang dan petugas pembersihan di syarikat yang sama Razli bekerja.
Tertarik dengan wanita yang 20 tahun lebih senior itu, Razli cuba untuk rapat dengan mangsa namun usahanya gagal kerana wanita itu tidak berminat.
Marah dengan penolakan itu, Razli bertindak di luar jangkaan apabila mengambil najisnya sendiri, meletakkannya dalam beg plastik, sebelum akhirnya melumurkannya ke wajah Norlinah ketika wanita itu sedang menjalankan tugasnya pada awal pagi 1 Jun tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu kepada Razli pada Khamis. Razli yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan.
#beg plastik #lelaki #mahkamah #Mohamad Razli Abdul Razak #Najis #penjara #Singapura #wanita