Heng Swee Keat dilantik TPM Singapura berkuat kuasa 1 Mei

Bernama
April 23, 2019 12:20 MYT
Heng akan dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Perdana Menteri. - Gambar fail
Singapura hari ini mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan Heng Swee Keat dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Mei 2019.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura berkata Heng kekal sebagai Menteri Kewangan dan akan terus mempengerusikan Majlis Ekonomi Masa Hadapan serta Yayasan Penyelidikan Kebangsaan.
"Beliau akan dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Perdana Menteri," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam akan melepaskan jawatan mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut PMO, kedua-dua mereka akan dilantik sebagai Menteri Kanan dan kekal sebagai anggota Kabinet.
Teo akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Penyelaras Keselamatan Negara manakala Tharman dilantik semula sebagai Menteri Penyelaras Dasar Sosial.
Tharman akan terus menasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong berhubung dasar ekonomi, menurut PMO.
-- BERNAMA
#dasar ekonomi #Heng Swee Keat #kabinet #Lee Hsien Loong #pemangku PM #rombakan #Singapura #Teo Chee Hean #Tharman Shanmugaratnam #Timbalan Perdana Menteri