DUNIA

AS hentikan pengeluaran syiling satu sen selepas 232 tahun dalam edaran

Bernama 13/11/2025 | 11:45 MYT
Kilang Syiling Amerika Syarikat (US Mint) pada Rabu menamatkan pengeluaran syiling satu sen atau "penny" yang beredar selama lebih dua abad. - Foto AP/Matt Slocum
NEW YORK: Kilang Syiling Amerika Syarikat (US Mint) pada Rabu menamatkan pengeluaran syiling satu sen atau "penny" yang beredar selama lebih dua abad, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Amerika Syarikat menamatkan pengeluaran syiling satu sen (-penny-) selepas 232 tahun kerana kos pembuatan yang tinggi dan perubahan tabiat pengguna.
  • Keputusan itu dijangka menjimatkan AS$56 juta setahun, dengan setiap penny kini menelan kos 3.69 sen untuk dihasilkan.
  • Penny masih sah digunakan sebagai wang tunai, dan US Mint akan terus menghasilkan edisi khas untuk tujuan sejarah dan koleksi.


Dalam satu acara rasmi di Kilang Syiling Philadelphia, Bendahari AS Brandon Beach menempa syiling satu sen terakhir bagi menandakan berakhirnya secara rasmi pengeluaran penny selepas 232 tahun.

"Hari ini US Mint meraikan 232 tahun pengeluaran penny," kata Pemangku Pengarah Mint Kristie McNally. "Walaupun pengeluaran umum berakhir hari ini, legasi penny akan terus hidup. Seiring perubahan penggunaannya dalam perdagangan, kepentingannya dalam sejarah Amerika akan terus kekal."

Kos pengeluaran yang semakin meningkat dan tabiat pengguna yang berubah menjadikan pengeluaran penny tidak lagi mampan, apabila kos menghasilkan setiap syiling meningkat daripada 1.42 sen sedekad lalu kepada 3.69 sen, menurut US Mint.

Awal tahun ini, Presiden AS Donald Trump mengarahkan Jabatan Perbendaharaan untuk menghentikan apa yang beliau sebut sebagai pengeluaran penny yang "membazir".

Penggantungan pengeluaran penny dijangka menjimatkan kira-kira US$56 juta setahun, kata Beach.

Penny pertama kali dikeluarkan pada 1793, setahun selepas ia diluluskan melalui Akta Syiling.

Walaupun pengeluaran untuk edaran dihentikan, penny masih sah digunakan sebagai wang tunai. Dianggarkan terdapat 300 bilion penny dalam edaran, "jauh melebihi jumlah yang diperlukan untuk perdagangan," menurut US Mint.

US Mint juga memaklumkan yang mereka akan terus menghasilkan versi pengumpul penny dalam kuantiti terhad untuk tujuan sejarah dan koleksi.

-- BERNAMA


#syiling satu sen #Amerika Syarikat #Penny #kilang syiling