Hentikan tuntutan, Ramos-Horta gesa keharmonian di Laut China Selatan

Ramos-Horta menegaskan bahawa langkah mengekang ketegangan dan mengutamakan keharmonian amat penting bagi memastikan ASEAN kekal bersatu serta berkesan dalam menangani cabaran geopolitik serantau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta menyeru semua negara yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan agar menghentikan sementara tuntutan masing-masing dan bekerjasama menjadikan perairan yang dipertikaikan itu sebagai zon keamanan dan kerjasama serantau.
Ringkasan AI
- Presiden Jose Ramos-Horta menyeru semua negara yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan agar menghentikan sementara tuntutan masing-masing dan menjadikan kawasan itu sebagai zon keamanan serta kerjasama serantau demi kepentingan ASEAN.
- Beliau menekankan keperluan mengurangkan kehadiran ketenteraan dan menggalakkan pelayaran dengan niat damai, selain menyeru ASEAN dan China bekerjasama dalam melindungi biodiversiti marin serta mengawal penangkapan ikan berlebihan.
- Ramos-Horta turut menyokong pendekatan Malaysia yang menekankan dialog dalam menangani isu sempadan maritim, sambil menggesa negara anggota ASEAN kekal bersatu dan tidak mencari penyelesaian secara berasingan dengan kuasa besar.
"Apabila mana-mana negara mencari penyelesaian secara berasingan dengan kuasa besar, ASEAN akan menjadi lemah. Nasihat saya ialah kekal bersatu... berbincang lebih banyak, berunding lebih kerap, dan bertindak bersama," katanya.
Ramos-Horta berkata walaupun tiada negara penuntut - termasuk Filipina, Vietnam, Brunei dan China - dijangka menarik balik tuntutan mereka, tumpuan harus diberikan kepada dialog, kehematan dan kerjasama.
Beliau turut menyeru pengurangan kehadiran ketenteraan di kawasan perairan itu, sambil menggesa semua angkatan laut agar "masuk dengan niat damai" ketika menjalankan pelayaran, bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laluan bebas dan terbuka untuk semua pihak.
Pemimpin Timor-Leste itu turut menggesa ASEAN dan China menjadikan Laut China Selatan sebagai "lautan keamanan dan kerjasama", dengan menekankan keperluan segera untuk mengawal aktiviti penangkapan ikan berlebihan serta melindungi biodiversiti marin.
"Kemakmuran China bergantung kepada keamanan dan kestabilan di Asia serta di luar rantau ini. Saya percaya China dan Amerika Syarikat mampu membantu menjadikan Laut China Selatan sebagai zon kerjasama," katanya.
Berhubung isu Laut China Selatan, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN secara konsisten menegaskan bahawa pertikaian itu perlu ditangani melalui komitmen terhadap dialog dan bukannya melalui pendekatan bertahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga mengakui bahawa Malaysia masih berdepan isu sempadan maritim yang belum diselesaikan bukan sahaja dengan China, tetapi juga dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina, menggambarkan kedudukan geografi Malaysia yang unik.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, Anwar menegaskan bahawa saluran komunikasi sentiasa terbuka bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan perairan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


