[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

Hezbollah tolak cadangan pelucutan senjata oleh AS

Agensi 19/07/2025 | 00:10 MYT
Sheikh Naim Qassem menolak cadangan pelucutan senjata kumpulan Hezbollah seperti yang dikemukakan Amerika Syarikat kepada kepimpinan Lebanon bulan lalu. - Gambar fail Reuters
BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Sheikh Naim Qassem menolak cadangan pelucutan senjata kumpulan itu seperti yang dikemukakan Amerika Syarikat kepada kepimpinan Lebanon bulan lalu.

Kenyataan Qassem itu dilihat sebagai satu tamparan kepada usaha Duta Amerika Syarikat ke Turkiye dan Utusan Khas ke Syria, Thomas Barrack, yang sebelum ini giat mengusahakan pelan damai antara Israel dan Lebanon.

“Kami tidak akan menyerah atau tunduk kepada Israel. Israel tidak akan dapat merampas senjata kami,” tegas Qassem dalam satu mesej video pada Jumaat.

Qassem turut memberi amaran, ketiadaan kekuatan ‘tentangan’ di Lebanon akan membuka ruang kepada peluasan pengaruh ketenteraan Israel di negara itu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, isu utama kini adalah ancaman wujud terhadap Lebanon dan bukan penyerahan kuasa ketenteraan sepenuhnya kepada negara.

“Selepas kita tangani ancaman itu, barulah kita bersedia berbincang mengenai strategi pertahanan atau keselamatan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Lebanon, Nawaf Salam dalam wawancara bersama stesen Al Jadeed TV pada Jumaat menyifatkan cadangan Amerika itu sebagai satu “peluang” yang berpotensi membawa kepada pengunduran Israel.

Beliau turut mengakui, peranan besar senjata Hezbollah dalam membebaskan selatan Lebanon daripada pendudukan Israel pada tahun 2000.

Namun, katanya, senjata itu kini perlu berada di bawah kawalan negara.

Cadangan Barrack, yang sebelum ini menyatakan rasa "sangat berpuas hati" selepas menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Lebanon, termasuk rancangan tindakan susulan atau “go-forward plan”, turut disokong oleh pemimpin baharu Lebanon yang mengambil alih selepas lebih setahun konflik antara Israel dan Hezbollah.

Mereka telah menjanjikan kawalan eksklusif negara terhadap pemilikan senjata, sambil mendesak Israel supaya mematuhi gencatan senjata yang dicapai November lalu.

Di bawah perjanjian itu, Hezbollah sepatutnya menarik semula pejuangnya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel, manakala Israel pula bersetuju menarik tenteranya dari wilayah Lebanon. Namun, Israel dilaporkan masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima kawasan strategik dan terus melanggar gencatan dengan serangan udara hampir setiap hari.

Israel sebelum ini didakwa telah melemahkan Hezbollah secara signifikan dalam konflik tahun lalu dengan membunuh ketua kumpulan itu, Hassan Nasrallah serta beberapa komander kanan, selain memusnahkan sebahagian besar simpanan senjatanya.

Qassem mengakui Hezbollah kini tidak berada dalam kedudukan untuk melancarkan serangan balas terhadap kehadiran tentera Israel di selatan Lebanon, namun tetap menegaskan bahawa kumpulan itu tidak akan melucutkan senjata di bawah tekanan kemungkinan tercetusnya perang besar.

“Kami akan terus maju, bersiap sedia dan berwaspada untuk sebarang konfrontasi pertahanan,” katanya. - Al Jazeera








#Israel #Hezbollah #pelucutan senjata #Amerika Syarikat