Seorang lelaki melahirkan hasrat untuk menyaman ibubapanya sendiri selepas mendakwa mereka telah melahirkannya tanpa persetujuan.

Raphael Samuel, 27, seorang peniaga memberitahu BBC bahawa adalah salah untuk sesuatu pasangan itu melahirkan anak yang kemudian terpaksa berhadapan penderitaan seumur hidup.

Lapor BBC, Samuel dari Mumbai, India itu mengamalkan fahaman anti-natalis iaitu satu kepercayaan bahawa kehidupan itu merupakan sesuatu yang penuh dengan kesengsaraan, sehingga manusia tidak perlu melahirkan generasi baharu.

"Tidak ada gunanya perjuangan kemanusiaan jika begitu ramai yang menderita. Jika manusia sudah pupus, bumi dan haiwan akan lebih bahagia. Kewujudan manusia tiada gunanya,” dakwanya.

Bagaimapun, dia dilaporkan belum mendapatkan peguam yang mahu mengambil kesnya itu.

Paling menarik kedua-dua ibu bapa Samuel juga merupakan peguam.

"Saya kagum dengan semangat anak saya untuk membawa kami berdua (ibu dan bapa) ke mahkamah walaupun kami berdua adalah peguam.

"Tetapi jika Samuel dapat membuat penjelasan yang rasional tentang bagaimana kami boleh mendapatkan persetujuannya untuk dilahirkan, kami akan menerima kesalahan kami,” kata ibunya, Kavita Karnad Samuel dalam satu kenyataan.

Samuel bagaimanapun mengakui bahawa persetujuan tidak mungkin boleh diperolehi daripada seseorang yang belum lahir, namun beliau menegaskan “ia bukan keputusan kita (manusia) untuk dilahirkan.”

“Jadi, kalau kita tidak meminta untuk dilahirkan, kita sekurang-kurangnya patut dibayar untuk hidup,” tegas beliau.


Walaupun permintaan sebegini mungkin menyebabkan mana-mana keluarga berpecah-belah, namun Samuel masih mempunyai hubungan baik dengan ibu bapanya.

Samuel pernah menerbitkan sebuah profil di Facebook dipanggil ‘Nihilanand’ yang menunjukkan gambarnya memakai janggut palsu disertai dengan mesej ‘anti-natalist’ seperti “Bukankah memaksa kelahiran seorang anak dan memaksanya untuk bekerja seolah-olah satu perhambaan?”

Kepercayaan itu bermula apabila Samuel berumur 5 tahun dan enggan pergi ke sekolah: “Dahulu, saya kanak-kanak normal. Pada satu hari, saya naik angin apabila saya dipaksa pergi ke sekolah oleh ibu bapa saya.”

“Jadi, saya tanya mereka: ‘Kenapa saya dilahirkan?’ Ia tidak dapat dijawab oleh bapa saya. Jika dia mempunyai jawapan kepada persoalan itu, mungkin saya tidak akan menjadi sebegini.”

Walaupun dia tahu kes tersebut berkemungkinan tinggi akan dibuang dari mahkamah, namun dia hanya mahu menegaskan kepercayaannya itu.

“Saya bukan sahaja membuat kes ini untuk publisiti, tetapi untuk mengemukakan idea ini kepada umum - bahawa keputusan untuk tidak melahirkan anak itu patut diterima," jelas Samuel lagi.