Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan bekas setiausaha negara Hillary Clinton baru-baru ini menjadi sasaran ancaman bom yang dihantar kepada beberapa pemimpin Parti Demokrat berprofil tinggi.

Turut jadi sasaran, pejabat agensi berita CNN di New York, dalam insiden yang disifatkan pihak berkuasa negara itu sebagai satu tindakan keganasan.

Susulan itu, penyiasatan dimulakan pada Rabu bagi melihat kepada kemungkinan beberapa tokoh tertentu AS sedang menjadi sasaran.

Kiriman bom turut dihantar kepada bekas pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) John Brennan.

Nama-nama lain yang dipercayai turut menjadi sasaran ialah pemimpin Demokrat Debbie Wasserman Schultz, bekas peguam negara AS Eric Holder dan anggota kongres Maxine Waters.

Kiriman berisi bahan letupan kepada Obama dan Clinton bagaimanapun berjaya dipintas khidmat risikan AS.

Manakala, pejabat CNN di New York terpaksa dikosongkan, selepas bahan letupan dipercayai bom dihantar ke bilik mel.

BACA: Bekas presiden AS, CNN terima bungkusan disyaki berisi bom

Pada Isnin, bahan letupan ditemui di kediaman jutawan George Soros, yang terkenal sebagai salah seorang penderma Parti Demokrat.

Presiden Donald Trump menyifatkan ancaman ini sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Siasatan kini dijalankan pelbagai agensi kerajaan bagi mengenal pasti motif dan dalang di sebalik kejadian.