Bekas calon presiden parti Demokrat, Hillary Clinton mengumumkan sokongan kepada Joe Biden selaku calon parti itu untuk pilihan raya November depan.

Clinton membuat pengumuman berkenaan ketika sesi kempen Biden.

“Saya mahu menambah suara saya kepada mereka yang sudah memberi sokongan kepada anda untuk menjadi presiden.

“Bayangkan perubahan yang boleh dibuat sekiranya kita mempunyai presiden yang memberi pertimbangan kepada sains, fakta dan bukan fiksyen, tetapi menggabungkannya bersama, menunjukkan simpati dan menyatukan kita semua.

“Ini adalah apa yang kita perlukan daripada seorang presiden,” katanya.

Biden, merupakan bekas naib presiden Amerika Syarikat dan senator selama enam penggal.

Beliau hanya akan dicalonkan secara rasmi ketika konvensyen parti yang akan berlangsung Ogos depan.

Selain Clinton, Biden turut menerima sokongan daripada bekas presiden Barrack Obama, Bernie Sanders dan Elizabeth Warren.

Clinton, dalam pada itu kekal menjadi figura wanita yang mencipta sejarah tersendiri dalam usahanya menawan White House.

Kempennya pada 2016 memberi inspirasi kepada ramai wanita.