Honolulu larang pejalan kali guna telefon bimbit ketika melintas jalan raya

Bernama
Oktober 25, 2017 06:23 MYT
Honolulu menjadi bandar pertama di Amerika Syarikat yang mengharamkan penggunaan peranti elektronik ketika melintas jalan raya. - Gambar hiasan
Undang-undang baharu mengharamkan pejalan kaki menggunakan telefon bimbit ketika melintas jalan raya, akan berkuat kuasa pada Rabu di Honolulu, Hawaii, lapor agensi berita China Xinhua.
Bertujuan mendidik pejalan kaki agar lebih bertanggungjawab dan berhati-hati semasa melintas jalan raya, Datuk Bandar Honolulu, Kirk Caldwell menandatangani rang undang-undang itu pada Julai, sekaligus membolehkan ia dikuatkuasakan.
Di bawah undang-undang itu, pegawai polis dibenarkan menyaman pejalan kaki yang menggunakan peranti elektronik ketika melintas jalan raya di bandar itu dan daerah sekitarnya.
Pejalan kaki bakal didenda antara US$15 hingga US$35 untuk kesalahan pertama .
Jumlah denda akan dinaikkan kepada US$75 hingga US$99, atau jumlah yang mana lebih rendah, daripada U$130, menurut laman web tempatan Hawaii News Now.
Honolulu menjadi bandar pertama di Amerika Syarikat yang mengharamkan penggunaan peranti elektronik ketika melintas jalan raya.
"Di samping pemandu kenderaan dan penunggang basikal tertakluk kepada undang-undang penggunaan telefon bimbit, kini sudah tiba masanya ia dikuatkuasakan kepada pejalan kaki," kata seorang pegawai majlis perbandaran, Brandon Elefante yang juga bertanggungjawab memperkenalkan rang undang-undang itu.
Menurut poster dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 270,000 pejalan kaki di seluruh dunia maut di jalan raya setiap tahun.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Honolulu #Kirk Caldwell #melintas jalan #pejalan kaki #polis #Rang Undang-Undang #saman #Telefon bimbit #undang-undang