DUNIA

Hospital Arab Saudi cipta sejarah, pembedahan tumor otak pertama dunia guna robot

Agensi 20/10/2025 | 23:30 MYT
Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal (KFSHRC) di Riyadh mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melakukan pembedahan membuang tumor otak menggunakan teknologi robotik pertama di dunia. - Gambar fail
RIYADH: Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal (KFSHRC) di Riyadh mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melakukan pembedahan membuang tumor otak menggunakan teknologi robotik pertama di dunia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang perubatan saraf.

Dalam prosedur bersejarah itu, pasukan pakar bedah berjaya mengeluarkan tumor berukuran 4.5 sentimeter dari otak seorang pesakit lelaki berusia 68 tahun yang mengalami sakit kepala teruk dan hilang tumpuan.

Lebih mengagumkan, pesakit berkenaan dibenar keluar hospital dalam tempoh 24 jam, iaitu empat kali lebih pantas berbanding tempoh pemulihan selepas pembedahan otak konvensional.

Pakar bedah utama yang mengetuai operasi itu, Dr. Homoud Al-Dahash yang juga perunding tumor pangkal tengkorak di KFSHRC menjelaskan, sistem robotik berkenaan memberikan ketepatan dan kawalan luar biasa, membolehkan pakar bedah menavigasi struktur saraf dan saluran darah dengan tahap keselamatan yang tinggi.

“Pesakit keluar pada hari yang sama, sedar sepenuhnya dan tanpa sebarang komplikasi - ini menjadi penanda aras baharu dalam inovasi pembedahan saraf,” katanya.

Pembedahan selama satu jam itu dijalankan menggunakan sistem optik 3D yang memberi pandangan jelas dan diperbesarkan terhadap struktur otak, dibantu teknologi navigasi berpandukan imej bagi memastikan penyingkiran tumor yang tepat tanpa menjejaskan kawasan penting otak.

Ketua Pegawai Eksekutif KFSHRC, Dr. Majid Al-Fayyadh berkata, kejayaan ini adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi hospital tersebut yang kini muncul sebagai peneraju dalam bidang perubatan global.

“Pencapaian ini mencerminkan peranan KFSHRC dalam membentuk masa depan perubatan dunia, selaras dengan visi kami untuk menjadikan inovasi dan penjagaan berpusatkan pesakit sebagai teras utama,” ujarnya.

Sebelum kewujudan teknologi robotik dalam bidang bedah saraf, prosedur seperti ini dilakukan secara manual menggunakan mikroskop pembedahan, di mana ketepatan bergantung kepada kestabilan tangan dan penglihatan pakar bedah.

Namun kini, sistem robotik membolehkan pergerakan lebih stabil, bebas gegaran dan visualisasi lebih jelas, sekali gus menetapkan standard baharu keselamatan dan ketepatan dalam pembedahan saraf global.

Kejayaan ini menambah satu lagi pencapaian penting dalam portfolio pembedahan robotik KFSHRC, selepas institusi itu sebelum ini melakar sejarah dengan pemindahan jantung dan hati menggunakan teknologi robotik pertama dunia.

Hospital itu turut diiktiraf sebagai pusat perubatan akademik terbaik di Timur Tengah dan Afrika Utara serta ke-15 terbaik dunia dalam senarai Top 250 Academic Medical Centers 2025.

Selain itu, Brand Finance 2024 menobatkan KFSHRC sebagai jenama penjagaan kesihatan paling bernilai di Timur Tengah, manakala Newsweek turut menyenaraikannya dalam senarai World’s Best Hospitals 2025, Best Smart Hospitals 2025 dan Best Specialized Hospitals 2026.

Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan KFSHRC sebagai peneraju global dalam penjagaan kesihatan berasaskan inovasi dan kecemerlangan pesakit. - Agensi





#Hospital Arab Saudi #KFSHRC #pembedahan tumor otak #teknologi robotik