Hospital bergerak Australia teruskan usaha rawat hidupan liar di tapak baharu

Saraya Mia
November 26, 2020 23:39 MYT
Seekor daripada koala yang diselamatkan dari kebakaran hutan di Kangaroo Island, Australia Selatan, 5 Jan, 2020. - Gambar fail AP
HOSPITAL bergerak yang merawat hidupan liar di Australia seperti koala dan kangaroo bakal berpindah ke lokasi baharu di pantai timur negara, Byron Bay.
Hospital yang dibina di atas treler sepanjang 16 meter (52.5 kaki) itu dikhaskan sebagai pusat pemulihan dan rawatan haiwan liar yang terjejas akibat krisis alam sekitar dan hidupan liar di Australia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Hidupan Liar Byron Bay, Dr Stephen Van Mil, pembinaan hospital yang dimulakan pada tahun 2018 itu telah dihentikan sementara susulan bencana kebakaran hutan yang melanda negara pada musim panas tahun lalu.
“Ia sangat menyayat hati melihat puluhan koala yang tercedera, duduk di dalam bakul baju sambil menunggu untuk dirawat dan dijaga,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Reuters.
Malapetaka itu telah membunuh sekurang-kurangnya 5,000 koala dan memusnahkan 24 peratus habitat hidupan liar.
Oleh sebab usaha oleh kempen pembiayaan orang ramai, pendermaan dan bantuan kumpulan konsevatif, hopital bergerak dibina dengan kos ASD700,000 (RM2.85 juta).
Kenderaan itu dilengkapi dengan alat-alat veterinar termasuk mesen ultrasound, X-ray, tempat simpan air, satelit dan tenaga solar.
Dalam pada itu, kebaikan hospital bergerak adalah kerana mudah merawat haiwan yang mungkin berada di mana-mana pelusuk negara dengan segera, kata pakar hidupan liar Dr Bree Talbot.
“Bekerja di hospital bergerak bermaksud saya boleh membantu haiwan-haiwan tercedera dengan segera. Saya boleh sampai di lokasi dan beri rawatan dan ubatan yang diperlukan, sekali gus membolehkan ia dilepaskan ke hutan semula,” katanya.
#Australia #Koala #kangaroo #hidupan liar #haiwan #hutan #kebakaran #bencana #Hospital #pemulihan #rawatan #kebakaran hutan #hospital bergerak #Byron Bay