DUNIA

Hospital Doktor Tanpa Sempadan diserang di Sudan Selatan

Bernama 05/02/2026 | 10:52 MYT
Gudang utama hospital musnah dan MSF kehilangan sebahagian besar bekalan kritikal yang diperlukan untuk menyediakan rawatan perubatan. - Foto: doctorswithoutborders.org
NAIROBI (Kenya): Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengesahkan sebuah hospitalnya yang memberi perkhidmatan kepada lebih 200,000 penduduk di negeri Jonglei, Sudan Selatan terkena serangan udara, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

"Gudang utama hospital musnah dalam serangan itu dan kami kehilangan sebahagian besar bekalan kritikal yang diperlukan untuk menyediakan rawatan perubatan," menurut MSF.

"Angkatan bersenjata kerajaan Sudan Selatan adalah satu-satunya pihak bersenjata yang mempunyai keupayaan untuk melakukan serangan udara di negara ini," jelas pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertempuran yang melanda Sudan Selatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini berlaku pada skala yang tidak pernah dilihat sejak 2017, sekali gus menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya semula perang saudara di negara itu.

Antara pertempuran paling sengit berlaku di Jonglei, yang terletak di timur negara itu berhampiran sempadan Ethiopia, dan pasukan kerajaan berusaha mengekang serangan oleh pejuang yang setia kepada Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA).

Menurut pertubuhan itu, seorang kakitangannya cedera ringan dalam serangan udara ke atas hospital di Lankien, sambil menjelaskan yang pihaknya mengosongkan hospital dan membenarkan pesakit keluar beberapa jam lebih awal selepas menerima maklumat mengenai kemungkinan serangan.

Lewat bulan lalu, tentera Sudan Selatan mengarahkan orang awam serta anggota misi PBB dan semua badan kebajikan untuk berpindah dari tiga daerah di negeri Jonglei menjelang satu operasi di kawasan itu terhadap pasukan pembangkang.

Misi PBB mengesahkan sekurang-kurangnya 180,000 orang di Jonglei dipindahkan akibat pertempuran terbaru.

Perang saudara Sudan Selatan dari 2013 hingga 2018 berlaku sebahagian besarnya akibat konflik etnik dan meragut kira-kira 400,000 nyawa.

-- BERNAMA




#Doktor Tanpa Sempadan #MSF #hospital diserang #sudan selatan